Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis ambil keterangan Ramesh Rao kes SD liwat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis mengambil keterangan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Ramesh Rao, berhubung satu akuan bersumpah (SD) mendakwa seorang pemimpin politik pembangkang terbabit dalam kes liwat.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, Ramesh hadir memberi keterangan di Bukit Aman pukul 11 pagi hari ini bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan secara menyeluruh dan ada beberapa lagi individu akan dipanggil untuk kes ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, satu SD mendakwa seorang lelaki mengadakan hubungan luar tabii dengan seorang ahli politik sebanyak empat kali di hotel berbeza di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang pada 2013, tular menerusi media sosial.

Bagaimanapun, individu yang membuat SD itu membuat laporan polis minggu ini, mendakwa Ramesh mempengaruhinya agar membuat tuduhan tersebut.

- Bernama