Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengundi 96 tahun imbas pengalaman jadi tentera Perang Dunia Kedua

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRK SLIM | Usia Renggaiyah Maruthamuthu sudah mencecah 96 tahun. Setiap pagi selepas bangkit dari tidur, dia yang berkerusi roda akan menghabiskan masa di depan pintu rumah kedainya.

Dia tinggal di deretan rumah kedai di Pekan Trolak yang telah berusia 80 tahun. Renggaiyah, atau lebih dikenali sebagai 'Renga tathta' yang bermaksud Datuk Renga, telah tinggal di situ selama lebih separuh abad.

Di muka pintu, 'Datuk Renga' akan melihat kenderaan yang lalu-lalang di sepanjang jalan, sehinggalah waktu makan tengah hari.

Malaysiakini sempat berbual-bual dengannya ketika membuat tinjauan berhubung PRK DUN Slim dan terkejut apabila dia memaklumkan mengenai usianya serta telah mengundi pada pilihan raya umum pertama pada 1955.

Lebih mengujakan apabila dia memberitahu dirinya adalah bekas tentera yang pernah turut serta bersama British menentang tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

"Saya lahir di India pada 1924 dan mula menetap di Malaya ketika berusia tahun tahun. Saya bersama bapa saya ke Temoh dan membesar di sebuah lombong di sana. Bapa saya kerja di lombong itu, dan saya pun belajar di sanalah," katanya.

Temoh sebuah pekan kecil terletak di antara Kampar dan Tapah.

Renggaiyah berkahwin dan memiliki lima anak. "Isteri dan seorang anak saya sudah meninggal dunia, yang lain pula berhijrah ke luar," katanya. Dia tinggal di rumah kedai itu - yang merupakan miliknya - bersama seorang pembantu.

Ekori tentera Jepun

Bercerita mengenai pengalamannya ketika Perang Dunia Kedua, Renggaiyah berkata dia menyertai tentera British di Malim Nawar, Perak, bersama sejumlah kawan.

"Tugas kami bukan di barisan depan, tetapi membantu tentera lain membawa bekalan dan sebagainya," katanya.

Dan antara tugasnya ialah membuat 'batu tanda'. Apakah peranan batu tanda dalam peperangan?

Menurutnya, batu tanda adalah batu yang ditanam di sepanjang jalan ketika dia dan beberapa yang lain mengekori tentera Jepun, sebagai panduan untuk tentera British di belakang mengel pasti jalan yang perlu dituju untuk mengejar mereka.

Katanya, dia pernah mengekori tentera Jepun sehingga ke Singapura, setelah pihak British tewas dalam pertempuran di Kampar, Teluk Intan dan Tapah.

"Terdapat satu batu tanda di Trolak yang dikenali sebagai 'batu Jepun' tapi sudah dimusnahkan ketika kerja pembesaran jalan Slim ke Sungkai baru-baru ini.

"Sejarah itu sangat panjang, kalau nak tulis buku tidak cukup. Tak kan mereka nak tulis semua bukan?," katanya penuh makna.

Untuk rekod, Perang Dunia Kedua di Malaya membabitkan tentera negara-negara Komanwel, antaranya terdiri daripada British, India, Australia dan penduduk Malaya dengan Tentera Imperial Jepun, pada awal 1940-an.

Sebahagian pakar sejarah melihat kekalahan British di Kampar dan Slim River sebagai antara faktor yang memadamkan harapan untuk penjajah itu mempertahankan Malaya dan Singapura.

Menurut Renggaiyah lagi, setelah Jepun menyerah kalah, dia yang berada di Singapura pulang Perak dan tinggal di Kampar dan Tapah, sebelum bermastautin di Trolak.

Katanya, terdapat banyak peristiwa Perang Dunia Kedua di Perak yang perlu disampaikan kepada generasi seterusnya.

Kubur-kubur Perang Dunia Kedua

Menyambung ceritanya, 'Datuk Rengga' berkata ada dua pusara Perang Dunia Kedua di Bidor dan Malaysiakini sempat mencari kedua-duanya.

Kubur pertama terletak di Kampung Baru Coldstream, yang terletak di Jalan Bidor menuju ke Teluk Intan. Terdapat tiga kubur yang terletak bersebelahan dengan saiz yang agak besar. Ketiga-tiganya dibina pada 1946, setelah kekalahan Jepun.

Di salah satu kubur, tertera tulisan bahasa mandarin yang bermaksud "Tugu Jiwa yang Setia".

Menurut seorang penduduk, pada 1942 tentera Jepun menangkap lebih 20 anggota Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA) dan menyeksa mereka.

"Mereka diikat dengan dawai besi dan di cucuk di badan. Kemudian mereka di bakar mati hidup-hidup sehingga mati," katanya yang hanya ingin dikenali sebagai 'Aunty Lee'.

Katanya lagi, selepas kekalahan Jepun, penduduk kampung mengumpul abu mereka yang terkorban dan membina kubur itu.

"Hanya penduduk kampung dan orang-orang tua di kawasan ini tahu pasal monumen ini.

"Ada yang buat sembahyang untuk memperingati mereka. Kalau nak buat cerita (tentang Perang Dunia Kedua di Perak ) bagus juga," katanya lagi.

Kubur kedua pula tidak jauh dari situ. Ia terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit di Batu 4, Jalan Bidor-Teluk Intan.

Saiznya lebih kecil berbanding kubur di Kampung Baru Coldstream dan tampak kurang terpelihara.

Menurut penduduk di situ, kubur tersebut milik dua tentera Komunis yang mati ketika menentang Jepun. Mereka mendapat kesimpulan itu kerana terdapat lambang Bintang Tiga yang terukir pada nisannya.

Namun, seorang penduduk menafikan perkara itu.

"Tidak, itu bukan kubur komunis. Ia kubur dua orang yang lawan Jepun (MPAJA)," katanya.

Dia yang enggan dinamakan berkata dua orang itu terkorban ketika berdepan dengan tentera Jepun di Bidor.

"Saya dengar mereka naik kereta dan disekat oleh lori Jepun dan dibunuh sebab tak mahu menyerah."

Tulisan Mandarin pada nisan menyatakan ia dibina pada 1946 untuk memperingati dua tentera yang menentang Jepun.

Di akhir perbualan, topik kembali kepada PRK Slim, di mana tempoh kempen tinggal lagi seminggu.

Menurut Renggaiyah, seperti tahun-tahun sebelumnya dia akan tetap keluar mengundi.

Ditanya berkenaan calon pilihannya, dia hanya membalas "itu rahsia", sambil tersenyum.

PRK Dun Slim pada 29 Ogos akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang disokong Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta ahli akademik S Santhasekaran.