RUU baru 'beza sikit' dari IPCMC hanya siasat aduan - Sumber
Suatu rang undang-undang yang "sedikit berbeza" daripada RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kemungkinan akan berusaha untuk menubuhkan badan yang hanya menyiasat aduan, kata sumber.
RUU baru itu, yang dilapor namanya sebagai Suruhanjaya Pengaduan Polis Bebas (IPCC), tidak akan memiliki kuasa untuk menjatuhkan hukuman.
Sebaliknya, seorang ahli parlimen Perikatan Nasional yang mengetahui mengenai rang undang-undang itu, memberitahu Malaysiakini bahawa IPCC yang dicadangkan hanya akan membuat cadangan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis untuk tindakan selanjutnya.
"Ia hanya akan menyiasat dan membuat cadangan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis. Saya telah bertanya polis, dan mereka menyambut baik hal itu," kata penggubal undang-undang itu.
Malaysiakini telah menghubungi Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin untuk mendapatkan pengesahan dan ulasan lanjut.
Jika benar, ini bermaksud IPCC akan mempunyai kuasa terbatas yang sama dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan yang hanya dapat menyiasat tetapi tidak boleh menghukum.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai IPCMC, berkata had kuasa IPCC yang baru itu menimbulkan perdebatan.
"Saya ingin melihat rang undang-undang tersebut sebelum mengulas lebih lanjut, tetapi tiada gunanya IPCC jika mereka tidak memberikannya kuasa untuk mengambil tindakan," katanya kepada Malaysiakini.
Rang undang-undang IPCC dijangka akan dibentangkan dalam beberapa hari lagi.
IPCMC pertama kali dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2005, ketika pentadbiran perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.
Ia kemudian, diredakan menjadi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) selepas bantahan keras oleh pasukan polis di bawah ketua polis negara pada waktu itu, Musa Hassan.
IPCMC, seperti yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan tahun lalu, akan memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk mengambil tindakan, termasuk amaran, pemotongan gaji atau pemecatan terhadap pegawai yang didapati melakukan kesalahan.
Walau bagaimanapun, ahli parlimen PN mendakwa bahawa IPCMC memangsakan polis secara tidak adil.
Dipercayai penentangan PN terhadap suruhanjaya itu berkait dengan bagaimana polis akan mengundi dalam pilihan raya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai