Skip to main
Logo Malaysiakini

RM900,000 bagi projek pertanian bandar di Kelantan - Timb menteri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kelantan menerima peruntukan sebanyak RM900,000 untuk dimanfaatkan oleh rakyat negeri ini bagi Projek Pertanian Bandar di bawah Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata peruntukan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berjumlah RM10 juta itu bagi membantu isi rumah meringankan kos sara hidup menerusi pengeluaran sendiri bahan makanan melalui bimbingan Jabatan Pertanian.

“Di Kelantan, sebanyak RM900,000 telah diperuntukkan untuk dimanfaatkan oleh rakyat negeri ini yang dianggarkan akan melibatkan seramai 3,697 orang di 106 lokasi menerusi bantuan seperti benih, baja, infrastruktur, peralatan, khidmat nasihat dan lain-lain dengan nilaian RM500 bagi penerima individu dan maksimum sehingga RM50,000 bagi setiap komuniti yang layak bergantung kepada program dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Bantuan Program Pertanian Bandar di bawah Penjana bagi Parlimen Tumpat yang turut dihadiri oleh Pengarah Pertanian Kelantan Nor Bahani Zakaria.

Projek itu juga, katanya, sebagai pelengkap kepada pembangunan bandar secara keseluruhan yang melibatkan penduduk di kawasan bandar dan pinggir bandar selain mampu menyokong usaha kerajaan dalam menjamin kualiti dan keselamatan makanan negara.

“Konsep pertanian bandar ini akan membolehkan masyarakat yang tidak mempunyai tanah pertanian yang luas untuk turut serta dengan menggunakan segala teknologi kemudahan serta bahan-bahan termasuk bahan terbuang bagi digunakan sebaiknya untuk menghasilkan makanan,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan kepada 462 individu dan lapan komuniti di sekitar Tumpat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM300,000 bagi keseluruhan jajahan itu di perkarangan Masjid An-Nur di Tumpat, hari ini.

Che Abdullah berkata kajian impak berkaitan Program Pertanian Bandar ini yang telah dibuat oleh Jabatan Pertanian pada 2017 mendapati terdapat anggaran penjimatan kos sara hidup sebanyak RM108 sebulan.

“Pelaksanaan projek pertanian bandar ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kos sara hidup mereka yang terlibat selain memberi peluang pekerjaan dan menjana pendapatan tambahan khususnya penduduk bandar dan pinggir bandar yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19,” katanya.

- Bernama