Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersatu bincangkan pelantikan Azmin dalam EGM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bersatu bakal membincangkan pelantikan Azmin Ali sebagai seorang daripada naib presiden parti itu, kata timbalan presidennya, Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti yang akan diadakan bagi membincangkan pelbagai perkara dalam usaha untuk memperkukuhkan parti.

"Kita akan bincang perkara itu dalam EGM yang kita rasakan sesuai diadakan bersekali dengan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (nanti)," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Media Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di pekan Slim River hari ini.

Turut hadir Azmin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Ahmad Faizal berkata demikian semasa ditanya mengenai kedudukan Azmin yang menyertai Bersatu semalam dan dikatakan bakal dilantik sebagai naib presiden parti.

Ketika ini, Bersatu mempunyai tiga naib presiden yang dipilih iaitu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Ronald Kiandee; Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin; dan Adun Paya Rumput Mohd Rafiq Naizamohideen.

Ahmad Faizal berkata EGM itu juga akan membincangkan mengenai pindaan perlembagaan parti dalam usaha untuk menarik lebih ramai penyertaan orang bukan Melayu dan bumiputera.

Ditanya mengenai pemilihannya sebagai timbalan presiden, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata beliau yakin mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

Ada lagi belum diselesaikan

"Saya kira bernasib baik kerana ada presiden (Muhyiddin Yassin) yang amat disegani ahli dan rakyat... saya juga ada banyak 'abang', pemimpin (berpengalaman dalam parti) yang boleh beri nasihat," katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas isu yang dipermainkan pembangkang selepas beliau mengaku anak angkat kepada Dr Mahathir Mohamad, Ahmad Faizal berkata beliau banyak terhutang budi kepada bekas perdana menteri itu termasuk daripada segi didikan dalam dunia politik.

"Perasaan saya sampai sekarang, saya anggap ayahanda Tun (Mahathir) seperti bapa saya.

"Saya tetap sayangkan Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun tidak lagi bersamanya sekarang,” katanya sambil berterima kasih kepada ahli parlimen Langkawi itu.

Mengenai PRK Slim, Ahmad Faizal berkata jentera Bersatu ikhlas dan komited membantu BN dan calonnya Mohd Zaidi Aziz memperoleh kemenangan.

Mengulas perkara sama, Saifuddin berkata calon BN mempunyai peluang cerah hasil sokongan akar umbi yang sentiasa bersama-sama sepanjang tempoh kempen.

"Mungkin ada perkara-perkara yang masih belum diselesaikan (oleh kerajaan negeri), tapi saya lihat untuk jangka panjang, (kerajaan) Perikatan Nasional memang formula yang terbaik untuk rakyat," katanya.

Pengundian PRK Slim diadakan pada 29 Ogos ini.

- Bernama