Skip to main
Logo Malaysiakini

Kebangkitan Bersatu 2.0 dan logik di sebaliknya

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Ramai yang musykil mengapa kem Azmin menyertai parti Bersatu, meskipun digembar-gemburkan akan menubuhkan parti multietnik, sebagai serpihan PKR, sebelum ini.

Logik yang boleh dirungkaikan di sebalik pembukaan dan penjenamaan semula parti Bersatu sebagai parti multietnik dengan kemasukan kem Azmin, tidaklah semata-mata untuk membolehkan sekutu-sekutu bukan Melayu Azmin menyertai Bersatu.

Tetapi lebih penting lagi adalah kerana parti itu nampaknya merancang untuk bertanding di majoriti kawasan parlimen pada PRU-15 nanti bagi pihak Perikatan Nasional (PN) - dalam usahanya untuk mengekalkan kedudukan sebagai parti dominan sekiranya menang dalam PRU itu.

Hal ini boleh dicapai dan boleh dianggap sebagai strategi serampang dua mata, kerana dengan penjenamaan baru ini sebagai parti multietnik, parti Bersatu kini telah meluaskan cakupan kawasan pilihan raya yang boleh ditandinginya.

Pemimpin Bersatu mengetahui, mereka tidak mempunyai banyak sokongan di kawasan majoriti Melayu/Bumiputra berbanding Umno dan PAS khasnya di Semenanjung. Justeru mereka sukar untuk mendominasi jumlah calon pilihan raya di kawasan ini, yang merupakan tradisi Umno dan PAS.

Jika Bersatu berkeras untuk bertanding di kawasan-kawasan ini dengan jumlah yang tinggi, ia akan ditentang hebat oleh Umno dan PAS, kerana tidak terelak untuk Bersatu untuk mengambil kawasan tradisi mereka. Hal ini boleh meruntuhkan PN, membuka persaingan tiga penjuru dan akan merugikan mereka.

Sebaliknya dengan penjenamaan Bersatu 2.0 sebagai sebuah parti multietnik, parti itu kini boleh bersaing di kawasan campuran khasnya di Semenanjung, yang kurang direbut oleh Umno dan PAS - sekali gus membolehkan Bersatu 2.0 untuk meletak calon yang banyak bukan sahaja di kawasan itu, tetapi juga di kawasan majoriti bukan Melayu khasnya di Semenanjung.

Namun bagi memastikan terdapat jaminan kerusi yang mencukupi, Muhyiddin Yassin dijangka akan menekan seberapa banyak kerusi yang boleh di kawasan majoriti Melayu dari Umno dan PAS.

Pengaruh kem Azmin di kawasan parlimen campuran juga adalah lebih baik dari prestasi BN di dalam PRU-14, dan ini memberi nilai baru kepada parti Bersatu 2.0 yang turut mempunyai pelbagai kelebihan sebagai parti paling dominan dalam kerajaan pada ketika ini.

Dengan kata lain, BN turut mengharapkan Bersatu 2.0 untuk menawan semula sebanyak kerusi parlimen campuran yang mampu, setelah dirampas oleh Pakatan dalam pilihan raya yang lalu, bagi membolehkannya kekal sebagai kerajaan.

Pengaruh Bersatu 2.0 di luar kawasan tradisi Umno, selain dominasi dalam kerajaan, juga mewujudkan berlaku hubungan saling bergantungan, menyebabkan kesukaran untuk BN atau MN untuk bertanding bersendirian dengan meminggirkan Bersatu.

Dengan itu, Bersatu 2.0 bukan sahaja boleh mengekalkan PN, tetapi juga bertanding di banyak kawasan dalam PRU-15 nanti.

Namun strategi ini tidaklah akan diterima bulat-bulat oleh parti komponen PN, khasnya BN, kerana parti itu bukan sahaja turut pernah menang di banyak kawasan parlimen campuran dan beberapa kawasan majoriti Cina, tetapi juga turut bercita-cita untuk menguasai semula kerajaan selepas PRU-15 nanti.

Persaingan di antara pemimpin PN, khasnya antara Bersatu dan Umno adalah sangat ketara ketika ini. Pemimpin Umno mahukan PRU-15 dilakukan secepat mungkin, kerana melihat keadaan sekarang cukup baik kepada organisasi mereka dan juga secara personal. Bersatu pula sebaliknya, kerana kepentingan semasa mereka yang berbeza.

Dengan kekuatan organisasi peringkat akar umbi Bersatu 2.0 yang agak lemah dan semakin terpecah kini oleh kemasukan sebahagian pemimpin dan penyokongnya ke dalam parti Pejuang, masa adalah sangat diperlukan oleh Bersatu 2.0 untuk memperkukuhkan dan merekayasa semula parti itu, baik di kawasan majoriti Melayu dan kawasan-kawasan lain. Hal ini boleh dibantu juga dengan dominasi parti itu dalam kabinet ketika ini.

Namun keputusan untuk melambat-lambatkan PRU-15 juga boleh memakan diri. Dengan masa, parti Pejuang juga akan mengukuh, kerjasama Anwar-Mahathir boleh terjalin semula, dan isu-isu-isu tadbir urus kabinet Muhyiddin pula akan bertambah sebagai mana yang terjadi semasa penggal kedua pentadbiran Najib dahulu. PRU-15 dengan itu dijangka lebih sengit, sangat terbuka dan lebih sukar untuk diramal berbanding PRU-14, sama ada persaingan di dalam pilihan raya itu secara dua penjuru, ataupun lebih.


DR MUHAMAD NADZRI MOHAMED NOOR adalah penganalisis politik.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.