Skip to main
Logo Malaysiakini

Azmin bohong, tuduh saya tak beri peruntukan Covid-19, kata Lim

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tuduhan Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali melampau dan tak berasas, kata bekas menteri kewangan dan anggota parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Dia berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Azmin bahawa banyak nyawa rakyat akan melayang dalam menghadapi wabak Covid-19 jika PH masih menjadi kerajaan kerana menteri kewangan didakwanya enggan mengeluarkan peruntukan.

Jelas Lim lagi, dakwaan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu juga satu pembohongan.

"Beliau tuduh masa PH memerintah, saya sebagai menteri kewangan tak beri wang cukup untuk tangani Covid-19.

"Ini satu fitnah dan pembohongan kerana ia adalah sebaliknya. Kerajaan dah maklum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menteri pada masa itu juga boleh sahkan bahawa kerajaan akan berikan segala sumber yang perlu untuk pastikan petugas barisan hadapan kita jalankan tugas mereka sebaik mungkin," kata Lim kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Azmin, membuat dakwaan itu pada majlis ceramah ketika turun berkempen menyokong calon BN pada PRK Slim semalam.

“Kita telah bagi peluang kepada PH 22 bulan untuk perintah kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tetapi tuan puan pun tahu Pakatan Harapan sudah gagal.

“They fail as government. Dia (PH) tidak mampu untuk membela rakyat. Kalau kita menghadapi Covid-19 dalam PH lebih banyak orang Malaysia mati bukan kerana Covid tapi kerana PH.

“Bila kita minta Guan Eng peruntukan, tiada wang. Semua tiada,” dakwa Azmin ketika berucap. 

Pembohongan sangat dahsyat

Justeru Lim menggesa Azmin untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan dibuat bekas timbalan presiden PKR itu.

“Kalau boleh tunjuk bukti sekarang dan jangan buat tuduhan meliar [...]

“Ini tidak adil juga pada Dr Dzulkefly kerana dia menjalankan tugas dengan baik sekali,” katanya merujuk kepada bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Pada 14 Feb lalu, Lim - sebagai menteri kewangan - menjelaskan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bagi mengurangkan impak ekonomi luaran akibat wabak Covid-19 terhadap Malaysia selain memelihara kebajikan rakyat. 

Tambahnya, pakej rangsangan ekonomi tersebut bukanlah belanjawan baru mahupun sebahagian daripada Belanjawan 2020 tetapi bantuan kepada industri yang terjejas.

Pada 27 Feb pula Mahathir telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion bagi bantuan tambahan untuk mengekang Covid-19.

Pakej rangsangan tersebut tetap diumumkan meskipun kerajaan PH telah runtuh pada masa itu. 

Sementara itu Dzulkefly turut meluahkan rasa kecewa atas tuduhan Azmin yang dianggapnya sebagai suatu pembohongan.

“Untuk rekod, pada 24 (Februari), kita ada 22 kes, 24 yang positif dan dua kes yang masih dalam wad bukan di ICU serta tiada kematian sehingga kami tinggalkan Putrajaya.

“Apa jua tuduhan dan kepalsuan yang cuba diulangi Perikatan Nasional (PN) khususnya menteri (Azmin) ini adalah pembohongan yang rakyat perlu tahu adalah sangat dahsyat,” katanya.

Anggota parlimen Kuala Selangor itu berkata peruntukan juga sudah diberikan bagi menangani wabak tersebut.

“Peruntukan RM20 bilion kita dah beri awal lagi dan mula dibelanjakan untuk Covid-19.

“Ketua Pengarah KKM (Dr Noor Hisham Abdullah) juga berkata semasa PH, Covid-19 ini telah ditangani secara baik dan ada persiapan awal sebab itu tiada peningkatan dalam pandemik sehingga ada kluster UDA, Sri Petaling,” katanya lagi.