Skip to main
Logo Malaysiakini

Kempen PRK: Polis terima 3 laporan setakat ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRK SLIM | Polis menerima tiga laporan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, setakat ini.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata laporan pertama diterima pada Khamis lepas berhubung dakwaan gambar seorang calon bertanding pada papan iklan yang disembur dengan cat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Changkat Sulaiman.

“Sehingga kini polis masih meneruskan siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat kepada harta benda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di Tangjung Malim hari ini.

Beliau berkata polis juga telah merakam percakapan seorang pengadu yang membuat laporan pada Sabtu lepas berkaitan berita palsu di media sosial.

Kes itu telah diselesaikan apabila pengadu berpuas hati atas permohonan maaf pemilik media sosial yang memuat naik kenyataan itu, namun polis merujuk laporan berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), katanya.

Sulizmie Affendy berkata polis juga menerima laporan berhubung penganjuran karnival kerjaya yang berlangsung di kawasan DUN Slim dan telah merujuk perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, katanya polis menerima 101 permohonan permit ceramah melibatkan 72 daripada calon Barisan Nasional (BN) dan 29 daripada calon Bebas setakat ini.

“Daripada jumlah itu, hanya satu permohonan tidak diluluskan atas faktor lokasi ceramah yang tidak sesuai untuk menjalankan aktiviti kempen,” katanya.

Sementara itu, Sulizmie Affendy berkata pihaknya menyasarkan kesemua 267 pegawai dan anggotanya akan melaksanakan tanggungjawab pada pengundian awal esok di Dewan Bunga Tanjung, IPD Muallim.

- Bernama