Buruan rasuah Indonesia rancang 'perjanjian pembebasan' dari pejabat di KL
Menara pencakar langit tertinggi di Malaysia, The Exchange 106 menjadi tumpuan kerana dikatakan sebagai tempat pertemuan rahsia yang melibatkan suspek kes rasuah Indonesia yang paling dikehendaki, Djoko Tjandra dan rakan-rakannya.
Sekurang-kurangnya tiga pertemuan diadakan di sana pada November lalu untuk menyelesaikan rancangan yang dikatakan bertujuan membantu membebaskan Djoko daripada sabitannya pada 2009 dalam skandal rasuah Bank Bali, menurut majalah berita Indonesia, Tempo.
Dilaporkan seorang pendakwa di Jabatan Peguam Negara Indonesia, Pinangki Sirna Malasari, telah mengusulkan penyelesaian bernilai AS$100 juta atas bantuannya dalam rancangan yang disusun oleh Djoko. Pinangki ditangkap pada 21 Ogos kerana disyaki menerima rasuah daripada Djoko.
Tempo memetik kertas siasatan dalam kes Pinangki di mana dia didakwa mengaku pertemuan dengan Djoko di pejabatnya yang dikatakan terletak di Signature Tower 1MDB yang terletak di kawasan pembangunan Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur.
Malaysiakini selanjuutnya melihat dokumen di bawah nama Pinangki untuk perjalanan ke Kuala Lumpur pada 12 November dan 25 November tahun lalu.
Difahamkan, dakwaan penglibatan Pinangki bermula setelah dia didatangi oleh orang kepercayaan Djoko yang mengatur pertemuan pertama mereka di Kuala Lumpur pada 3 September lalu.
Djoko didakwa setuju bayar AS$10 juta
Exchange Tower 106 di mana pertemuan itu didakwa berlangsung, sebahagiannya dimiliki oleh Mulia Property Development Bhd, yang dikaitkan dengan syarikat gergasi hartanah Indonesia, Mulia Group, yang dikendalikan oleh saudara Djoko, Eka Tjandranegara.
Menurut laporan Tempo, Djoko hanya bersetuju terhadap pembayaran berjumlah AS$10 juta daripada jumlah AS$100 juta yang didakwa dicadangkan oleh Pinangki. Dia kemudian didakwa membayar AS$500,000 sebagai "wang pendahuluan" kepada pendakwa berusia 39 tahun itu, dalam salah satu pertemuan mereka.
Difahamkan, cadangan daripada Pinangki itu merupakan sebahagian daripada rancangan supaya mendapatkan keputusan Mahkamah Agung Indonesia yang akan membatalkan sabitan kesalahan rasuah terhadap Djoko (gambar, bawah) dan memungkinkan dia kembali ke negara itu sebagai orang bebas.
Ketika dihubungi, penyelaras badan Masyarakat Anti-Korupsi Indonesia, Boyamin Saiman berkata tidak ada duluan bagi keputusan sebegitu dalam siasatan rasuah.
"Usaha mereka untuk mendapatkan keputusan Mahkamah Agung telah gagal.
"Juga dalam praktiknya, tidak pernah ada keputusan(penyelesaian) yang dibuat untuk kes rasuah. Ini hanya untuk pertikaian sivil," katanya kepada Malaysiakini.
'Cover up' projek di Kalimantan
Tempo selanjutnya melaporkan Pinangki telah memberitahu suatu siasatan dalaman oleh Pejabat Peguam Negara Indonesia bahawa dia bertemu Djoko untuk meneroka potensi pelaburan dalam "projek jana kuasa elektrik" di Kalimantan.
Dua sumber yang biasa dengan prosiding siasatan bagaimanapun berkata projek itu hanya 'cover up' (untuk menutup) cara memudahkan bayaran baki daripada perjanjian kebebasan bernilai AS$10 juta itu.
Menurut Tempo, Pinangki memberitahu siasatan dalaman itu bahwa dia "tidak mengetahui" status Djoko sebagai buruan kes rasuah.
Dia juga mengaku telah memberitahu Peguam Negara Indonesia Sanitiar Burhanuddin mengenai pertemuan mereka, termasuk melalui paling kurang satu sesi panggilan video dengan Djoko setelah persetujuan dicapai mengenai pembayaran AS$10 juta itu.
Sanitiar menafikan dakwaan Pinangki, menyifatkannya sebagai tohmahan.
"Itu fitnah. Saya tidak pernah melakukan panggilan video dengan JT (Djoko)."
"Apa lagi yang berkaitan dengan wang, saya tidak ada kaitan dengan itu," katanya seperti dipetik Tempo.
Jelasnya, sejak itu Pinangki telah digantung tugasnya selama-lamanya.
Dua bekas pegawai kanan polis juga diberhentikan kerana didakwa menerima rasuah daripada besan bekas perdana menteri Najib Razak, Tommy Sumardi yang berkaitan dengan kes itu.
Tommy, digambarkan laporan media Indonesia sebagai "tokoh utama" dalam siasatan kes baru yang berkaitan dengan Djoko.
Dia dipaparkan di muka hadapan majalah Tempo minggu ini bersama Pinangki, peguam Djoko, Anita Kolopaking, dan dua mantan pegawai polis lainnya.
Tommy, yang kini dalam tahanan polis Indonesia, dituduh memberi rasuah kepada dua bekas brigadier jeneral polis - Napoleon Bonaparte dan Prasetijo Utomo - untuk membatalkan Notis Merah Interpol Djoko dan memudahkan perjalanannya.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan Djoko dipercayai tinggal di Malaysia sebagai ekspatriat menggunakan pasport Papua New Guinea yang dikeluarkan dengan nama "Joe Chan" dengan pas pekerjaan di bawah kategori ekspatriat.
Menurut perincian pas pekerjaan itu, Chan diambil bekerja sebagai pengarah operasi dan pembangunan oleh Mulia Property Development.
Ia juga menyatakan pas pekerjaan itu dikeluarkan oleh ibu pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya pada 20 September 2019, dan sah selama tiga tahun hingga 20 September 2022.
Malaysiakini telah menghantar senarai pertanyaan mengenai status pekerjaan Chan kepada pengurusan syarikat melalui agensi perhubungan awam luarannya tetapi diberitahu pelanggan mereka menolak memberikan ulasan.
Usaha lebih lanjut untuk menghubungi syarikat itu secara langsung juga gagal.
Djoko ditangkap di Kuala Lumpur pada 3 Julai lalu di sebuah pangsapuri yang dipercayai kediaman peribadinya.
Penangkapan itu dijalankan melalui kerjasama antara PDRM dan polis Indonesia.
Setakat ini, pihak berkuasa Malaysia masih belum memberikan sebarang ulasan mengenai penangkapan dan penghantaran pulang suspek berusia 69 tahun itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai