Skip to main
Logo Malaysiakini

Ali: Najib kata tajuk perbincangan isu laporan audit 1MDB akan diberikan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KES AUDIT 1MDB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendengar bahawa Najib Razak didakwa memberitahu ketua setiausaha negara Ali Hamsa bahawa tajuk perbincangan (talking points) akan disediakan berhubung penyelesaian isu-isu kontroversi dalam laporan audit 1MDB.

Ali memberi keterangan bahawa Najib yang merupakan perdana menteri ketika itu memaklumkan perkara berkenaan kepadanya semasa pertemuan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 22 Februari 2016.

Mesyuarat tersebut berlangsung hanya dua hari sebelum mesyuarat penting pada 24 Februari 2016, di mana keputusan dibuat untuk menggugurkan beberapa isu yang berpotensi menjadi kontroversi dari laporan audit 1MDB.

Antara yang hadir dalam mesyuarat 24 Februari itu adalah Ali, Ketua Audit Negara ketika itu, Ambrin Buang, pegawai dari Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad (yang kemudian menerajui SPRM), dan setiausaha sulit Najib ketika itu, Shukry Mohd Salleh.

Ali memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan keempat hari ini semasa perbicaraan kes dakwaan meminda laporan audit 1MDB terhadap Najib dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, Ali mengatakan bahawa tertuduh pada 22 Februari 2016, telah memberitahunya mengenai tajuk perbincangan (talking points), yang akan diberikan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Ali mengatakan bahawa tajuk perbincangan adalah untuk memberi panduan kepadanya ketika dia menyelaraskan mesyuarat 24 Februari 2016, untuk membincangkan isu-isu yang berpotensi menjadi kontroversi dalam laporan audit 1MDB, seperti dua penyata kewangan 1MDB yang bercanggah untuk tahun 2014.

Shafee: Penglibatan anda adalah untuk menyelaraskan mesyuarat (pada 24 Februari 2016) untuk menyelesaikan beberapa aspek kontroversial dalam laporan audit (1MDB)?

Ali: Ya.Shafee: Adakah anda mempunyai tajuk perbincangan?

Ali: Saya tidak memilikinya ketika ini.

Shafee: Siapa yang memberi tajuk perbincangan?

Ali: Menurut pegawai khas saya, ia berasal dari PMO. Siapa dari PMO yang menyediakannya, saya tidak tahu.

Shafee: Adakah anda dihubungi atau dibincangkan mengenai tajuk berpincangan?

Ali: Saya dimaklumkan oleh perdana menteri ketika itu (Najib) bahawa tajuk perbincangan akan diberikan.

Ali kemudian menjelaskan bahawa tajuk perbincangan adalah berkaitan dengan mesyuarat 24 Februari 2016 bakal diadakan ketika itu.

Shafee: Tidak mungkin tajuk perbincangan disiapkan oleh perdana menteri (Najib sendiri)?

Ali: Mungkin tidak.

Ketika Shafee bertanya, apakah tajuk-tajuk perbincangan itu berisi arahan kepada Ali dalam cara menyiapkan penyelesaian laporan audit, saksi menafikan wujudnya arahan seumpamanya.

Ditanya sama ada tajuk perbincangan mengandungi perkara yang tidak wajar, Ali memberi keterangan bahawa berdasarkan penafsirannya mengenai perkara-perkara yang dibicarakan itu, dia mengatakan bahawa ia hanya menyorot mengenai isu-isu pertikaian yang harus dibangkitkan mengenai laporan audit 1MDB dalammesyuarat pada 24 Februari 2016.

Shafee: Anda hanya membangkitkan isu pertikaian (semasa mesyuarat 24 Februari 2016), tetapi keputusan anda serahkan kepada Ketua Audit Negara (ketika itu) (Ambrin Buang)?

Ali: Ya.

Ketika Shafee bertanya apa yang terjadi pada tajuk perbincangan berkenaan, Ali mengatakan selepas ketika mesyuarat 24 Februari 2016 selesai, dia telah mengarahkan agar tajuk-tajuk perbincangan itu dilupuskan.

Namun, keterangan Ali itu tidak jelas mengenai siapa yang diminta untuk melupuskan tajuk-tajuk perbincangan berkenaan.

Ali menegaskan bahawa mesyuarat 24 Februari 2016 itu berakhir dengan suasana riang dan Ambrin berkelakuan seperti biasa.

Ali memberi keterangan bahawa walaupun dia menemani Ambrin ke pintu untuk keluar dari mesyuarat itu, Ambrin masih kelihatan seperti biasa.

Ali berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Shafee berkaitan dengan keterangan sebelum ini di mahkamah bahawa Ambrin kelihatan kecewa selepas pertemuan itu.

Pada 21 November tahun lalu, pegawai Jabatan Audit Negara (NAD) Nor Salwani Muhammad memberi keterangan bahawa Ambrin kelihatan kecewa sejurus selepas mesyuarat pada 24 Februari 2016.

Semasa pemeriksaan balas oleh DPP Gopal Sri Ram hari ini, Ali juga bersetuju bahawa jika bukan kerana mesyuarat 22 Februari 2016, maka mesyuarat lain pada 24 Februari 2016, tidak akan berlangsung.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian membenarkan prosiding ditangguhkan petang ini.

Perbicaraan akan disambung esok pagi.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk memerintahkan pindaan terhadap laporan audit 1MDB sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan tersebut.

Kedua-duanya dituduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang menetapkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, dan denda tidak kurang dari lima kali jumlah sogokan atau RM10,000, yang mana yang lebih tinggi.