Skip to main
Logo Malaysiakini

Pembelaan bantah pernyataan saksi kes Zahid Hamidi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ditangguh apabila pasukan pembelaan membantah tujuh perenggan daripada pernyataan saksi ke-89 hari ini.

Peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik mencelah ketika saksi itu, Fairul Rafiq Hamirudin yang merupakan penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), merangkap salah seorang pegawai penyiasat dalam kes Ahmad Zahid, membacakan pernyataan saksinya.

“Pembelaan mahu membantah beberapa perenggan dalam pernyataan saksi,” celah Hisyam, merujuk perenggan ke-20, 27, 29, 33, 34, 35 dan 37 daripada keterangan Fairul.

Kata Hisyam, perenggan-perenggan itu bersifat pandangan peribadi (opinion), khabar angin (hearsay) dan prejudis terhadap pihak pembelaan.

“Terpulang kepada Yang Arif untuk tentukan sama ada terdapat atau tidak elemen dalam pernyataan ini, yang bukan (hak) saksi untuk membuat kesimpulan dan pandangan sendiri,” kata Hisyam.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun berkata pernyataan saksi itu ialah hasil daripada penyiasatannya sebagai pegawai penyiasat.

Dalam pemeriksaan utama oleh Gan sebelum itu, Fairul memaklumkan yang dia terlibat dalam penyiasatan terhadap pertuduhan ke-16, 17, dan 18 yang dihadapi Ahmad Zahid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahmad Zahid dituduh menerima RM2,000,000 daripada Azlan Shah Jaffril yang merupakan pengarah Profound Radiance Sdn Bhd, menerusi tiga keping cek antara 3 Ogos 2017 hingga 15 Mac 2018, sebagai suapan bagi melantik syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan OSC Pakistan dan Nepal.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Antara cadangan yang dikemukakan Hisyam kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah, adalah agar Fairul meneruskan membaca pernyataan saksinya tanpa membaca perenggan-perenggan yang dipertikaikan itu.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran memberitahu Collin bahawa jika berbuat demikian, keterangan Fairul akan menjadi terputus-putus, sebelum mencadangkan penghujahan dihantar berkenaan isu itu.

Mengikut perancangan, lapan orang saksi termasuk Fairul sepatutnya akan memberikan keterangan.

Dengan itu, hakim menangguhkan perbicaraan hari ini dan menetapkan Jumaat sebagai tarikh penghujahan berkenaan isu dibangktikan Hisyam.

Perbicaraan yang masuk hari ke-37 itu bersambung esok, membabitkan saksi baru yang bukan pegawai penyiasat.