Skip to main
Logo Malaysiakini

3 jabatan k'jaan tak patuh syarat kontrak dalam perolehan sebut harga - Laporan audit

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiga jabatan kerajaan didapati gagal memastikan pematuhan terhadap syarat kontrak dalam perolehan secara sebut harga, menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun (LKAN) 2019 Siri 1.

Menurut laporan itu, Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Penjara Malaysia dan politeknik didapati gagal memastikan pematuhan itu merangkumi spesifikasi dan syarat kontrak, kontrak rasmi dan pembayaran.

Laporan itu menyatakan bekalan pakaian keselamatan untuk Institusi Latihan Pengangkutan Laut dan Bahagian Keselamatan Pelayaran JLM bernilai RM47,418 bagi 100 helai pakaian tidak menepati spesifikasi perjanjian.

Bagi sebut harga membekal dan menghantar alat ganti peralatan melawan tumpahan minyak bernilai RM187,160, selain penghantaran lewat, peralatan yang dibekalkan juga tidak dihantar ke lokasi yang ditetapkan.

Sementara itu, semakan audit terhadap perolehan harga di Penjara Kluang mendapati syarikat yang menyertai dan berjaya dalam salah satu pelawaan sebut harga pembekalan makanan, adalah syarikat yang sama berdasarkan alamat syarikat dan perakuan penerimaan Surat Setuju Terima (SST) oleh individu yang sama.

Di Ibu Pejabat Penjara Malaysia pula, pemeriksaan ke lokasi pada 21 Ogos 2019 mendapati enam unit kios bernilai RM18,000 tidak dapat dikesan.

"Pihak Audit mendapati perkara ini berlaku disebabkan tiada pemeriksaan fizikal secara terperinci oleh pegawai penguasa terhadap kerja yang telah siap sebelum proses pembayaran. Bagaimanapun, proses pembayaran telah dibuat berdasarkan pengesahan arkitek," menurut laporan itu.

Dalam pada itu, dua politeknik yang diaudit didapati telah membuat beberapa kali pembayaran sejumlah RM176,763.80 sebelum kontrak ditandatangani.

Pembayaran tersebut melibatkan dua kontrak di Politeknik Nilai berjumlah RM165,865.80 dan tiga kontrak di Politeknik Ungku Umar berjumlah RM10,898.

Justeru, pihak Audit antaranya mengesyorkan jabatan menguatkuasakan denda atau tolakan bayaran atas kegagalan kontraktor membekal perolehan dengan sempurna selain pembekal atau kontraktor yang disyaki membuat pakatan harga perlu disenarai hitam daripada menyertai sebarang perolehan kerajaan.

- Bernama