Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenderaan perisai tak ikut spesifikasi PBB dedah askar M'sia pada bahaya

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penyerahan kenderaan pengangkut berperisai APC (armoured personnel carriers) boleh mendedahkan askar Malaysia yang terlibat dengan misi Pasukan Interim PBB di Lubnan (Unifil) kepada ancaman tembakan, jika mereka diserang.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 siri 1, yang dikeluarkan semalam, menyatakan antara spesifikasi PBB adalah APC perlu disekalikan dengan sistem pensenjataan.

Bagaimanapaun sembilan APC yang diterima sebaliknya dilengkapi dengan mesingan yang perlu dikendalikan secara manual oleh askar.

"Namun, apabila MINDEF terima APC berkenaan, sistem pensenjataan itu tidak disekalikan iaitu anggota tentera perlu mengeluarkan kepala mereka untuk melepaskan tembakan.

"Dari segi keselamatan memang tidak selamat kerana apabila anggota perlu mengeluarkan kepala dari kenderaan sudah tentu membolehkan mereka menjadi sasaran.

"Kita hanya boleh mendoakan keselamatan mereka di sana (Lubnan)," kata Ketua Audit Negara Nik Azman Nik abdul Majid ketika sidang media pembentangan LKAN 2019 semalam, seperti dipetik Berita Harian.

Menurut LKAN 2019, sembilan APC itu adalah sebahagian daripada urus niaga bernilai RM897 juta yang diberikan menerusi rundingan terus, antara OGos 2015 hingga Jun 2019.

Menurut perjanjian itu, sebuah syarikat akan membekalkan tentera Malaysia dengan peluru berpandu Starstreak dan membeli peluru berpandu Starbust milik Malaysia yang tidak lagi digunakan dengan harga RM60 juta.

Starbust merupakan sistem pertahanan udara jarak pendek yang telah digantikan oleh kerajaan Malaysia dengan peluru berpandu Starstreak pada 2009.

Daripada RM60 juta tersebut, RM45.1 juta dibayar menerusi sembilan APC antara Februari 2017 hingga Jun 2019, manakala baki RM14 juta melibatkan 107 buah van Westar Maxus V80.

Kenderaan pengangkut berperisai APC digunakan untuk membawa sebilangan kecil tentera ke medan perang dan melindungi mereka daripada tembakan.

Menerusi kontrak tersebut, sembilan buah kenderaan itu akan diserahkan kepada Batalion Malaysia 850-5 (Malbatt 850-5) yang terlibat dalam operasi PBB di Lubnan.

Bagaimanapun laporan audit menyatakan walaupun memorandum persefahaman (MOU) dengan PBB menggesa Malaysia untuk sekurang-kurangnya membekalkan satu sistem persenjataan dalaman untuk misi keamanan itu, spesifikasi dalam kontrak dengan syarikat tersebut sebaliknya menyatakan satu atau lebih sistem persenjataan yang tidak disekalikan dengan kenderaan.

Ini bermakna walaupun PBB membuat bayaran semula kepada Malaysia untuk misi itu, bayaran itu kurang RM2.22 juta ekoran kegagalan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Kekurangan itu adalah satu kerugian untuk kerajaan dan menyebabkan kegagalan untuk mematuhi spesifikasi, menurut laporan itu.

Dalam responsnya terhadap dapatan audit, Kementerian Kewangan berkata APC tersebut telah melepasi ujian penerimaan akhir pada 2018 dan diterima untuk digunakan dalam misi Unifil.

Kenderaan itu juga lepas pemeriksaan Peralatan Milik Kontinjen (COE) pada 20 Julai 2018.

Menurut kementerian, ketidakpatuhan spesifikasi hanyalah dari segi persenjataan kerana ia tidak dilengkapi dengan sistem 'turret' atau 'Remote Control Weapons Station'.

"Sebaliknya, APC hanya dilengkapi sistem persenjataan Commander Cupola dengan senjata MGKA 7.62 mm," katanya menerusi jawapan bertarikh 22 Julai yang turut disertakan dalam laporan audit.

Bagaimanapun, LKAN 2019 menyatakan, walaupun APC melepasi pemeriksaan COE untuk digunakan dalam misil Unifil, kegagalan mematuhi spesifikasi menyebabkan kerugian pendapatan sebanyak RM2.22 juta.

Laporan itu mengesyorkan agar Kementerian Pertahanan memastikan kontrak penebuasn disediakan berdasarkan keperluan pihak terlibat.

[Baca berita asal]