Skip to main
Logo Malaysiakini

Saksi: Selain 4 isu, amaran lain tak dipadam dari laporan audit 1MDB

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KES PINDA AUDIT 1MDB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu walaupun empat isu kontroversi didakwa dibuang daripada laporan audit 1MDB, ia tetap mengekalkan amaran-amaran lain.

Bekas Pengarah Jabatan Audit Negara (JAN) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad berkata demikian dalam keterangannya ketika perbicaraan kes pinda laporan audit 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy hari ini.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah, Saadatul Nafisah yang merupakan saksi pendakwaan ketujuh setuju dengan kenyataan pembelaan berkenaan keterangannya ketika pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) pada Disember 2018.

Dia merujuk jawapannya kepada soalan yang dibangkitkan anggota jawatankuasa ketika itu berkenaan laporan audit 1MDB.

Ketika itu, dia menjelaskan tentang mesyuarat penting pada 24 Februari 2016 yang membawa kepada keputusan untuk memadamkan empat isu kontroversi daripada laporan audit 1MDB.

Antaranya ialah dua penyata kewangan 1MDB yang bertentangan pada 2014.

Shafee: Anda setuju bahawa dalam jawapan (kepada PAC), anda kata laporan (audit 1MDB) menyatakan banyak amaran (red flag) berkenaan 1MDB.

Saadatul: Ya.

Shafee: Tiada siapa minta anda buang semua amaran berkenaan 1MDB, betul? Saya katakan versi akhir laporan masih ada amaran dan tiada siapa minta anda padam semua. Ia satu laporan yang jujur berkenaan 1MDB.

Saadatul: Ya. Apa yang kami padam (adalah empat perkara dalam laporan).

Shafee: Anda hanya padam bila ada justifikasi (berkenaan empat perkara itu). Anda tidak padam begitu saja?

Saadatul: Ya.

Shafee: Masih ada banyak amaran (lain) dalam laporan akhir (1MDB)?

Saadatul: Ya.

Najib dihadapkan pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda pula dituduh bersubahat dengan Najib dalam perkara itu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

[Baca berita asal]