Skip to main
Logo Malaysiakini

Murid 12 tahun dan ke bawah dibenar pakai pelindung muka

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebagai pilihan kepada pemakaian pelitup muka pakai buang yang membebankan keluarga miskin, pelajar sekolah yang berumur 12 tahun dan ke bawah dibolehkan memakai pelindung muka (faceshield) ketika berada di sekolah, menurut Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan yang bertanggungjawab dalam kluster keselamatan itu berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri mengenai Covid-19 awal hari ini.

"Beberapa kali saya tekankan, nak beli mask (pelitup muka pakai buang) akan membebankan keluarga miskin.

"RM1 sehari (untuk pelitup muka pakai buang). Kalau ada lima anak, RM5 untuk mask semata-mata. Belum nak belanja kantin lagi.

"Setelah perbincangan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setuju anak-anak di bawah 12 tahun dibenarkan pakai faceshield (di sekolah)," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail menambah bahawa kerajaan masih menggalakkan agar pelitup muka dipakai oleh pelajar, tetapi tidak diwajibkan.

Sejak 1 Ogos, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak dan ketika mereka menaiki pengangkutan awam.

Bagaimanapun, Ismail kemudian memaklumkan pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan untuk pelajar sekolah kerana kerajaan ingin mengkaji kesannya terutama terhadap ibu bapa yang menghadapi kekangan kewangan.

Serahkan pada polis kes Khairuddin

Sementara itu, wartawan turut bertanya kepada Ismail mengenai kes Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, yang hanya didenda RM1,000 kerana melanggar perintah kaurantin setelah kembali dari Turki pada 7 Julai.

Ismail berkata, dia sebelum ini mencadangkan untuk meningkatkan denda maksimum di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kepada RM10,000.

Bagaimanapun, tambahnya, ia belum dapat dilakukan kerana undang-undang perlu dipinda terlebih dahulu.

Justeru, katanya, Kementerian Kesihatan hanya mempunyai kuasa untuk menjatuhkan denda tidak lebih dari RM1,000.

Namun, kata Ismail lagi, tindakan selanjutnya boleh diambil dengan membawa kes ke mahkamah.

"Dan untuk tindakan selanjutnya, jika kita ingin membawa kes ke mahkamah, ia harus disiasat oleh polis dan kertas siasatan harus diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

"AGC harus memutuskan apakah akan membawa kes itu ke mahkamah atau NFA (tidak ada tindakan selanjutnya).

"Dan saya faham bahawa perdana menteri telah membuat pernyataan semalam, bahawa kami menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

"Jadi, kami menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan mereka," katanya.

Khairuddin sebelum ini menjadi sasaran kritikan selepas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa menteri berkenaan tidak malakukan kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan pada hari Sabtu, mengatakan bahawa menteri itu didenda pada 7 Ogos lalu.

Bagaimanapun, pelbagai pihak masih menyatakan kritikan dengan membandingkan denda dan hukuman yang dikenakan terhadap Khairuddin dengan kes-kes melibatkan orang awam yang melanggar peraturan berkaitan Covid-19.