Skip to main
Logo Malaysiakini

'Usaha kerajaan baik, namun ambil kira nasib pekebun durian'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani, Sim Tze Zin meminta kerajaan negeri Pahang menjadi pemudahcara bagi menyelesaikan kemelut antara pekebun durian di Raub dengan Royal Pahang Durian.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu mengambil kira nasib pekebun-pekebun durian ini, namun tidak menolak wujud kebaikan dalam usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri.

"Saya tidak menolak bahawa ada tujuan yang baik daripada kerajaan negeri untuk memutihkan tanah tidak berdaftar supaya industri durian lebih 'regulated' dan menjaga mutu dan kualiti durian dan memenuhi syarat MyGAP.

"Kerajaan juga diangkat menambah pendapatan negeri sehingga RM500 juta setahun, tetapi hari kita semua ingat 'no farmers, no durians'.

"Saya mencadangkan satu penyelesaian yang kontsruktif dan 'win-win' kepada semua pihak dan mengembangkan industri durian yang merupakan satu kejayaan kepada negara kita," katanya dalam sidang media di Parlimen.

Kerajaan Pahang sebelum ini dilaporkan berkata akan bertindak terhadap semua kebun haram di Kampung Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub bermula semalam.

Pekebun mendakwa mereka menduduki tanah kerajaan berkaitan sejak 1970-an melalui Rancangan Buku Hijau kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, kerajaan negeri menganggapnya sebagai pencerobohan dan mahu melakukan pemutihan dengan memajakkannya kepada Royal Pahang Durian Produce-PKPP Sdn Bhd (RPDP-PKPP).

Dalam wawancara bersama Malay Mail pada 22 Ogos lalu, RPD menafikan tuduhan menawarkan kontrak bersifat berat sebalah dengan pekebun durian Musang King.

RPD berkata, RPDP-PKPP telah mendapat hak dan pajakan untuk 5,357 ekar tanah di Raub selama 30 tambah 30 tahun, dan mendakwa 30 peratus daripada tanah itu telah diceroboh.

Satu kenyataan bersama yang dikeluarkan RPDP-PKPP juga membangkitkan kepentingan regulasi pasaran durian tempatan bagi mengelakkan pengaruh pelabur asing yang boleh menjejaskan pengeluar tempatan.

Dalam pada itu, Sim menasihatkan pekebun durian supaya menerima perubahan yang positif jika Malaysia ingin menembusi pasaran dunia apatah lagi bersaing dengan pengeluar durian dari Thailand.

Jelasnya, masa depan industri durian harus mencapai piawaian antarabangsa kerana durian Raub adalah hasil pertanian premium peringkat antarabangsa.

"Maka ia harus lebih teratur dan menjaga mutu dan kualiti. Mereka harus mengambil krisis ini sebagai satu peluang transformasi.

"Saya ingin mencadangkan petani Musang King di Raub belajar dari Koperasi Sunkist Growers dan menubuhkan Koperasi Musang King Growers," katanya lagi.