Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis panggil Khairuddin ke Bukit Aman esok

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali dipanggil ke Bukit Aman esok berhubung kes pelanggaran perintah kuarantin selepas beliau pulang dari Turki bulan lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan perkara ini.

"Ya," katanya pada mesej teks kepada Malaysiakini apabila ditanya jika polis akan memanggil menteri itu bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.

Bagaimanapun, tiada maklumat terperinci berhubung waktu Khairuddin akan menemui pegawai penyiasat kes tersebut.

Khairuddin yang juga MP Kuala Nerus menjadi tumpuan selepas MP Seputeh Teresa Kok mendedahkan menteri itu tidak mematuhi perintah kuarantin selepas pulang drai Turki pada 7 Julai lalu.

Menurut Kok, Khairuddin hadir di Dewan Rakyat pada 13 Julai dan ikut terlibat dalam mesyuarat serta pertemuan dalam tempoh kuarantin 14 hari yang mana menteri itu sepatutnya berada di rumah.

Ia mencetuskan maklum balas awam, termasuklah netizen yang menggesa tindakan diambil terhadap ahli parlimen PAS itu.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap Khairuddin berhubung isu kuarantin.

Muhyiddin berkata, kerajaan mengambil maklum dan memandang serius kes dakwaan pelanggaran perintah kuarantin oleh Khairuddin setelah dia pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengesahkan Khairuddin dikompaun maksimum sebanyak RM1,000 kerana tidak melakukan kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara.

Bagaimanapun kenyataan tersebut tidak meredakan kemarahan orang ramai kerana dianggap mengelirukan jika dilihat kepada garis masa kenyataan awal dibuat KKM, penjelasan dibuat Khairuddin serta tarikh dia dikenakan kompaun.

Kerajaan mewajibkan semua individu dari luar negara menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari, yang merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Setakat ini tidak ada kenyataan jelas daripada menteri terbabit mengenai lawatan berkenaan, sama ada atas kapasiti rasmi atau peribadi.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.