Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah Vietnam hukum mati wanita M'sia kes edar 3.3kg kokain - Laporan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Vietnam menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang wanita warga negara Malaysia pada hari Isnin setelah dia didapati bersalah mengedar 3.3 kilogram kokain dari Brazil ke negara itu.

Wanita itu, yang dikenali sebagai Kalaivani G Muniandy, 40, dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Bandar Ho Chi Minh atas kesalahan yang dilakukan pada Oktober 2018, menurut laporan portal berita VNExpress.

"Dia ditangkap pada Oktober 2018 ketika mendarat di Ho Chi Minh City dengan penerbangan Emirates dari Dubai. Pegawai kastam di Lapangan Terbang Tan Son Nhat memeriksa bagasinya dan menemui 3.3 kg kokain yang tersembunyi di dalam kotak makanan," kata laporan itu.

Kalaivani dilaporkan bekerja sebagai pengawal keselamatan di gudang lapangan terbang di Malaysia, dan pada ketika itu dia bertemu dengan seorang lelaki India yang dikenali sebagai Prakash.

Kedua-duanya kemudian berhubung melalui Whatsapp, sebelum Prakash dikatakan meminta Kalaivani bekerja untuknya sebagai pegawai perhubungan ke luar negara dan menghantar barangan bagi pihaknya.

"Dia menerima cadangan itu dan dibayar RM6,000 (AS$1,436) bagi setiap perjalanan selain perbelanjaan perjalanan dan penginapan," menurut portal itu.

Sebelum wanita itu ditangkap, dia telah melakukan perjalanan dari Malaysia ke Sao Paulo di Brazil dalam penerbangan yang ditempah oleh Prakash, yang kewarganegaraannya masih belum dikenal pasti lagi.

Kalaivani kemudian diberikan sebuah beg berisi empat kotak makanan, yang diminta untuk dikirimkan ke sebuah hotel di Ho Chi Minh.

Dia bagaimanapun menafikan mengetahui kotak itu mengandungi dadah.