Skip to main
Logo Malaysiakini

Abim gesa Parlimen bahas kajian tunjuk masalah kekurangan gizi penghuni PPR

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Parlimen membahaskan laporan dua agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung masalah kekurangan gizi yang diburukkan lagi oleh krisis Covid-19.

Ia disimpulkan daripada dapatan awal kajian tersebut yang mendapati ada peningkatan dalam pengambilan nasi dan telur di kalangan penduduk miskin bandar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata amat penting untuk isu itu dibahaskan sebagai indikator tambahan kepada inisiatif kerajaan membantu rakyat terbanyak.

"Ini kerana dalam memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat bagi memastikan ada hidangan di atas meja untuk dijamah seisi keluarga, ia harus berasaskan kepada hidangan yang baik bertepatan keperluan nutrisi dan tumbesaran generasi kanak-kanak.

"Maka, ABIM menggesa supaya diberi ruang untuk laporan kajian ini dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi memastikan kita berjaya memperoleh penyelesaian terbaik kepada isu yang telah ditimbulkan melibatkan golongan B40 ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kajian Families on Edge itu dijalankan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan PBB (Unicef) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan PBB (UNFPA).

Dapatan itu antara lain menyatakan peningkatan pengambilan telur dan mi segera bagi menggantikan nasi didapati meningkat, terutama dalam kalangan pendapatan kurang RM2,000 sebulan di 16 skim PPR.

Dapatan juga menunjukkan makanan yang disediakan tidak cukup, yang ada antaranya hanya makanan dalam tin atau alternatif lain paling murah.

Pengarah Urusan DM Analytics Muhammed Abdul Khalid, yang membentangkan dapatan itu hari ini, berkata kajian melibatkan 500 isi rumah, dengan 20 peratus wanita menjadi ketua keluarga, dan 24 peratus adalah ibu tunggal.