Skip to main
Logo Malaysiakini

Malanjum disebut jadi calon Warisan?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kenyataan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal hari ini merancakkan lagi spekulasi bahawa partinya akan meletakkan bekas ketua hakim negara, Richard Malanjum pada pilihan raya negeri Sabah akan datang.

"Lebih banyak masa diperlukan ... apabila tiba waktunya. Belum ada pengumuman dan borang belum diisi," kata Shafie kepada wartawan di Kimanis, Sabah hari ini yang dipetik oleh akhbar The Star.

Shafie disoal apakah benar bahawa Warisan akan meletakkan Malanjum, 67, seperti yang dikhabarkan di negeri itu, akhir-akhir ini.

Spekulasi bertiup kencang bahawa Malanjum akan diletakkan di Bingkor, sebuah kerusi majoriti Kadazan yang dimenangi Parti Solidariti Tanah Airku (Star) pada pilihan raya tahun 2013 dan 2018.

Semasa pilihan raya 2018, Bingkor menyaksikan pertandingan enam penjuru dengan kemenangan akhirnya berpihak kepada calon Star, Robert Tawik @ Nordin yang meraih 33.2 peratus undi. Dia megalahkan calon dari BN dan PKR.

Bagaimanapun, laporan Daily Express pada 21 Ogos lalu memetik Malanjum sebagai menyifatkan khabar angin itu sebagai berita palsu.

Pada masa sama, ketika ditanya adakah dia akan menyokong Warisan atau mana-mana parti, dia secara bergurau berkata "sedang menunggu ilham".

Dia juga tidak mengesahkan mahupun menafikan ketika ditanya akan terlibat dalam politik pada masa ini.

Malanjum melakar sejarah sebagai orang rakyat negeri Sabah pertama yang dilantik sebagai ketua hakim negara dan hakim termuda yang dilantik ke Mahkamah Persekutuan.

Dia kemudian dilantik sebagai Hakim Besar, Sabah dan Sarawak pada 26 Julai 2006.

Pada 11 Julai 2018, Malanjum menjadi rakyat Malaysia Timur pertama yang dilantik sebagai ketua hakim negara yang kesembilan dan kemudian bersara pada 12 April 2019.