Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan tak berunding dengan Badan Peguam ketika gubal RUU IPCC

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Badan Peguam Malaysia tidak dirundingi semasa kerajaan menggubal Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) bagi menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dibawa kerajaan PH.

"Berhubung pembentangan RUU IPCC, kami tidak dirundingi mengenainya. Bagaimanapun kami berharap RUU itu akan diluluskan dengan peruntukan-peruntukan yang hampir sama dengan versi asal IPCMC," kata Presiden Badan Peguam, Salim Bashir.

Menurut kenyataan dikeluarkan semalam, Salim berkata, satu lagi aspek yang menjadi perhatian Badan Peguam ialah seksyen 30 RUU berkenaan.

"Aspek lain yang menjadi perhatian kami ialah mengikut seksyen 30 RUU itu, kuasa IPCC mungkin dikurangkan berbanding Seksyen 31 RUU IPCMC yang dilengkapi dengan kuasa tindakan tatatertib," katanya.

Menurut Salim Badan Peguam berharap kerajaan berunding dengan mereka dan mereka bersedia memberikan sebarang input yang perlu bagi memastikan RUU IPCC yang komprehensif serta berkesan dapat dilaksanakan.

"Kami berusaha gigih dengan pelbagai pemegang taruh sebelum ini dan kami berharap keprihatinan semua pihak akan ditangani dalam RUU IPCC," katanya.

IPCMC yang lama ditunggu akhirnya dibentangkan buat kali pertama di Dewan Rakyat pada Julai 2019, iaitu 14 tahun selepas Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menambah baik operasi serta pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan cadangan mengenainya.

Bagaimanapun RUU IPCMC dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diteliti tiga bulan kemudian.

Gantikan tugas JIPs saja

RUU itu sekali lagi dibawa ke Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama oleh kerajaan PH pada Dis 2019. Ketika itu sebanyak 37 pindaan dibuat.

Bagaimanapun semalam kerajaan Perikatan Nasional membawa usul untuk menggantikan RUU berkenaan dengan membentangkan RUU IPCC semalam.

Selain tidak boleh mengambil sebarang tindakan ke atas anggota PDRM yang melakukan kesalahan, badan baru yang dicadangkan itu juga tidak berkuasa meneliti aduan berkenaan anggota polis yang gagal mematuhi peraturan atau prosedur operasi standard, gagal memberikan justifikasi atas tindakan mereka ketika ia diperlukan, dan jika mereka melakukan jenayah.

Sementara itu Timbalan Presiden Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan, berkata orang ramai mungkin tidak berminat lagi untuk membuat aduan kepada IPCC kerana ia bukan sebuah badan bebas.

S Arutchelvan

"Kita lebih suka mengadu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kerana di situ sekurang-kurangnya ada nampak sedikit unsur bebas.

"Justeru, jangan bazirkan wang rakyat dan jangan buang masa berbahas mengenai sesuatu yang tidak ada nilai tambah atau berfaedah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dengan keadaan yang dicadangkan PN itu, kata Arutchelvan, kerajaan wajar mengetepikan huruf "I" dalam IPCC dan menamakannya badan itu sebagai PCC (Suruhanjaya Tatakelakuan Polis) saja.


Baca IPCC jauh lebih lemah berbanding IPCMC


PCC itu pula, katanya, boleh diletakkan di balai polis berkenaan bagi menggantikan Jabatan Integriti Polis (JIPs) yang ada sekarang.

"Pada dasarnya, kerajaan sekarang mencincang teruk RUU berkenaan sehinggalah lebih baik saja ia disimpan dalam almari jabatan polis berkaitan.

"Semua alasan mengapa kita mahukan IPCMC sudah tiada," katanya.

[Baca berita penuh]