Skip to main
Logo Malaysiakini

Pandangan Wan Fayhsal ‘assobiyah jahiliyah’ - Pemuda PH

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemuda Pakatan Harapan (PH) membidas kenyataan Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang bertegas mahu sekolah vernakular dihapuskan secara berperingkat.

Dalam kenyataan bersama Ketua Pemuda DAP, Howard Lee; Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; dan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin, mereka berpendapat pandangan Wan Ahmad Fayhsal itulah yang perlu “dimansuh” segera.

“Pemuda PH berpandangan bahawa pendirian songsang, rakus dan jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan serta berkanta perkauman inilah yang perlu dimansuhkan secara segera, bukan secara berperingkat.

“[...] Hujah beliau menunjukkan bahawa segala yang tidak selaras dengan fahaman jati diri etnik dia adalah secara automatik salah; ini adalah gejala yang dinamakan rasis.

“Atau dalam bahasa yang lebih sesuai dengan gelaran Mat Jargon yang diberinya, assobiyah jahiliyah,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Kata mereka, tuduhan bahawa murid sekolah vernakular gagal memperlihatkan jati diri nasional hanyalah bertujuan meraih sokongan dan undi.

Sedangkan, kata mereka, perpecahan masyarakat berpunca daripada ahli politik yang menggunakan perbezaan budaya, kaum dan bahasa antara rakyat, untuk kepentingan politik.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal 

Wan Ahmad Fayhsal semalam menolak jaminan Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique bahawa kerajaan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular.

Dakwa timbalan menteri belia dan sukan itu, sekolah vernakular rata-ratanya gagal menghasilkan murid yang kental jati diri nasional, dan hanya menguasai bahasa ibunda masing-masing.

18 peratus murid bukan Cina

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching turut membidas kenyataan Wan Ahmad Fahysal yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab, sedangkan katanya, sekolah vernakular sangat bercirikan Malaysia dan mencerminkan semangat Rukun Negara.

Memberikan contoh, katanya, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) mempunyai 18 peratus murid bukan Cina, malah di beberapa tempat, murid bukan Cina merupakan majoriti seperti SJKC di Sabah (71.5 peratus murid bukan Cina) atau di SJKC Ladang Grisek (68 peratus murid bukan Cina).

“Adakah Wan Ahmad Fayhsal mengatakan, semua murid sekolah vernakular termasuk murid Bumiputera, tidak nasionalistik?

“Adakah dia cuba sampaikan bahawa ribuan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah vernakular tidak nasionalistik? Tak patriotik?”

Teo Nie Ching 

Teo turut mempersoalkan mengapa hanya sekolah vernakular- yang menggunakan kurikulum oleh Kementerian Pendidikan Malaysia- menjadi sasaran Wan Ahmad Fayhsal sedangkan sekolah antarabangsa juga tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara.

“Sekolah antarabangsa tak guna pun kurikulum kebangsaan. Jadi apakah Wan Fayhsal akan berkempen untuk mansuhkan sekolah antarabangsa juga? Adakah serangan ke atas sekolah vernakular ini berniat jahat?

Sehubungan itu, Teo meminta Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin merangkap presiden Bersatu, untuk menjelaskan apakah pendirian sayap pemudanya itu turut menjadi pendirian parti dan kerajaan Perikatan Nasional.

“Jika Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal berbuat demikian, saya boleh kata, inilah sambutan Hari Merdeka yang paling sedih dalam sejarah Malaysia,” katanya lagi.