Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan ada layanan antara dua darjat, kata Lim kepada SPRM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menggesa agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memberikan layanan dua darjat semasa meneliti isu pengagihan projek melalui rundingan terus.

Katanya selepas dakwaan membabitkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) diteliti agensi antirasuah berkenaan, hal yang sama juga wajar dilakukan ke atas pengagihan projek pada zaman BN dan Perikatan Nasional (PN). 

“Jangan ada double-standard atau antara dua darjat daripada SPRM," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Pada 24 Ogos lalu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat sebanyak 101 projek diluluskan secara rundingan terus oleh kerajaan PH.

Ia kemudian mendapat kecaman daripada anggota parlimen kerajaan, manakala SPRM pula menyatakan mereka akan meneliti isu berkenaan untuk melihat kemungkinan wujud unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa.

SPRM juga mengesahkan mereka menerima beberapa memorandum daripada sejumlah NGO mengenai kontrak bernilai RM6.1 bilion yang diberikan melalui tender rundingan langsung itu. 

Timbalan Menteri Kewangan Abdul Rahim Bakri pula mengakui amalan memberikan kontrak secara rundingan terus tidak bercanggah dengan undang-undang

PH pula sebaliknya menegaskan daripada keseluruhan kontrak yang dikendalikan sepanjang tempoh 22 bulan menjadi kerajaan, hanya 1.4 peratus saja diberi melalui runding terus, manakala 98.6 peratus lagi secara tender terbuka. 

Biar rakyat nilai sendiri

Lim juga mendedahkan projek rundingan terus yang dikendalikan PH hanya 0.07 peratus - atau RM352 juta - daripada jumlah yang didakwa Zafrul. 

Kata anggota parlimen Bagan itu lagi Zafrul harus berterus-terang dengan mendedahkan projek rundingan terus pada zaman BN, dan yang penting, projek yang diluluskan senator itu dalam kerajaan PN.

“Tengku Zafrul harus membuktikan semua projek rundingan terus yang diluluskan oleh beliau adalah teratur dan berkepentingan awam.

“Biar rakyat buat penilaian sendiri, kerajaan mana yang mendukung prinsip akauntabiliti dan ketelusan,” katanya.

Sementara itu mengulas berkenaan pemberian tender rundingan terus kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk sebuah buku bernilai lebih RM21,000, Lim berkata dia mempercayai setiap menteri yang meminta peruntukan.

Namun untuk hal berkenaan, kata Lim, dia telah tersilap kerana mempercayai menteri yang salah selama ini.

“Apabila menteri minta peruntukan malah untuk renovasi (ubah suai) pejabat, kita sentiasa percaya menteri.

“Pada ketika itu saya buat kesilapan, saya percaya kepada menteri yang salah,” katanya lagi.


Baca Kontrak buku lebih RM21 ribu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dipersoal


Kontrak yang dimaksudkan ialah untuk buku A Better World Volume 5: Actions and Commitments to the Sustainable Development Goals yang menjadi item ke-95 dalam senarai kontrak pemberian langsung didedahkan Zafrul.

Azmin Ali merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu.

Tidak jelas harga yang dinyatakan pada senarai itu merujuk kepada jumlah sebenar buku berkenaan.