Skip to main
Logo Malaysiakini

ERC syor kerajaan tubuh suruhanjaya persempadanan pilihan raya

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Persempadanan Pilihan Raya (SPPR) antara syor yang dikemukakan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).

Pengerusi jawatankuasa itu, Ab Rashid Ab Rahman, berkata perkara itu terkandung dalam 49 syor yang dikemukakan kepada kerajaan.

"Suruhajaya ini hanya berfungsi selama dua tahun bagi menjalankan kajian persempadanan semula.

"Selepas selesai tugas persempadanan semula suruhanjaya ini akan dibubarkan.

"Ia supaya SPR tidak dituduh (berlaku tidak adil) sekarang ini banyak tuduhan SPR memihak," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ab Rashid berkata, buat masa ini kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya diadakan setiap lapan tahun sekali.

ERC sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menambahbaik sistem pilihan raya di negara ini.

Pada 13 Januari tahun ini, ERC telah menyerahkan laporan interimnya kepada perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

ERC, dalam satu kenyataan berkata ia juga menjangkakan untuk menyampaikan laporan penuh kepada perdana menteri menjelang Ogos tahun ini.

Laporan ini berdasarkan kepada 21 sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan selama 16 bulan sejak ERC ditubuhkan pada Ogos 2018.

Sementara itu, Ab Rashid pada sidang medianya, hari ini, berkata laporan lengkap 49 syor berkenaan telah diserahkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Saya telah menyerahkan laporan lengkap yang mengandungi 49 syor iaitu penambahbaikan, kepada perdana menteri.

"Saya diberitahu bahawa laporan itu akan diteliti dan dikaji bersama anggota Kabinet. Bila saya tidak tahu," katanya.