Skip to main
Logo Malaysiakini

ERC cadang tiga badan berasingan laksana pilihan raya

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) mencadangkan tiga badan berasingan bagi pelaksanaan pilihan raya di negara ini.

Pengerusi ERC, Ab Rashid Ab Rahman, berkata tiga badan itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Beliau berkata, ia penting bagi mengembalikan keyakinan semua pihak kepada badan pelaksana pilihan raya di negara ini.

"Kita mahu kembalikan keyakinan semua, sekarang ini ada pihak yang menyatakan tidak yakin.

"Kita susun semula setelah kita kaji di banyak negara. Kita syor tiga badan berasingan tapi ada kaitan satu sama lain," katanya ketika sidang media di Putrajaya, petang tadi.

Cadangan berkenaan adalah antara 49 syor yang dikemukakan ERC kepada kerajaan bagi reformasi sistem pilihan raya.

Ab Rashid berkata, tiga badan berkenaan membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan penggubal dan pelaksanaan dasar, kemudian badan yang melaksanakan pilihan raya serta Suruhanjaya Persempadanan Pilihan Raya (SPPR).

ERC sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menambahbaik sistem pilihan raya di negara ini.

Pada 13 Januari tahun ini, ERC telah menyerahkan laporan interimnya kepada perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Laporan itu berdasarkan kepada 21 sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan selama 16 bulan sejak ERC ditubuhkan pada Ogos 2018.

Dalam pada itu, Ab Rashid mencadangkan supaya SPR diberi kuasa untuk mengawal parti politik yang terdapat di negara ini.

Katanya, perkara itu dapat dilakukan dengan melakukan pemindahan fungsi pendaftaran parti politik yang kini di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)

"Bagilah sedikit 'gigi' supaya SPR dapat kawal parti politik.

"Kita cadangkan juga dalam laporan ini bahawa perbelanjaan pilihan raya mesti diaudit. Ini adalah salah satu fungsi SPR kelak," katanya lagi.