Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan akan hulur bantuan lunaskan hak transgender Muslim

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Dr Zulkifli Mohamad berkata kerajaan sedia memberikan bantuan kepada komuniti transgender Muslim untuk memahami Islam.

Kata anggota Dewan Negara itu, komuniti terbabit juga mempunyai hak untuk mendapat panduan daripada kerajaan, khususnya daripada pihaknya.

“Agensi-agensi agama di bawah saya sedia menghulurkan bantuan untuk melunaskan hak komuniti transgender Muslim dalam memahami agama Islam dan bersama-sama untuk berhijrah ke arah yang lebih baik.

“Mereka ada hak untuk hidup beragama dan mereka ada hak untuk mendapatkan panduan daripada pihak kerajaan khususnya JPM dalam mengamalkan cara hidup yang beragama,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook.

Zulkifli menyatakan hal berkenaan selepas menghadiri program sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyantuni golongan berkenaan di Kuala Lumpur semalam.

Bekas mufti Wilayah Persekutuan itu bukanlah asing dalam aktiviti mendekati komuniti berkenaan dan pernah mengadakan kunjungan ke pusat kegiatan mereka sewaktu belum menjadi anggota kabibet.

Sebelum ini, Zulkifli pernah berkata dia bersedia untuk mengadakan perjumpaan dengan NGO bagi membincangkan isu membabitkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). 


Baca Dekati LGBT, bina kepercayaan mereka


Malah, Zulkifli menambah golongan transgender yang ditangkap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) perlu diberi pendidikan supaya mereka kembali ke pangkal jalan bukan hanya dikenakan hukuman.

Pendirian sama pernah dinyatakan oleh Menteri di JPM pada zaman Pakatan Harapan, Dr Mujahid Yusof. Bagaimanapun naib presiden Amanah itu menjadi sasaran kecaman teruk pembangkang pada waktu itu kononnya menerima fahaman liberalisme dan seks songsang.

Kata Zulkifli Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan beberapa agensi lain sedang merangka program bagi memberi peluang komuniti transgender berdialog dengannya dan panel pakar.

Tambanya, hal itu perlu dilakukan bagi mendapatkan penyelesaian berkenaan isu membabitkan komuniti transgender Muslim.

“Insya-Allah Jakim dan beberapa agensi agama lain bawah JPM sedang merencanakan sebuah program khusus bagi memberi peluang komuniti transgender berdialog dengan saya dan panel pakar yang lain bagi mendapatkan solusi tuntas berkenaan beberapa isu melibatkan komuniti transgender Muslim,” katanya lagi.