Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya tidak ditaja parti Dr M - Calon bebas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRK SLIM | Ahli akademik Santharasekaran Subramaniam yang bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Slim menafikan dia ditaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk memecahkan undi bukan Melayu.

Sebaliknya, bekas guru berusia 44 tahun itu berkata dia bertanding pada PRK berkenaan sebagai langkah awal menceburi bidang politik.

"Tidak, saya tidak ditaja oleh Parti Pejuang mahupun Tun Mahathir (Mohamad). Saya tidak ditaja oleh mana-mana pihak.

"Sebenarnya, saya pun sendiri mendengar khabar angin tersebut bahawa saya ditaja oleh Mahathir dan sebagainya. Itu tidak betul.

"Sebenarnya saya memang mempunyai hasrat untuk menceburi politik," katanya ketika ditemui Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, Santharasekaran diminta mengulas desas-desus bahawa dia ditaja oleh parti Pejuang untuk memecahkan undi bukan Melayu yang dikatakan kemungkinan tidak akan berpihak kepada Pejuang.

DUN Slim mempunyai 13 peratus pengundi India dan 10 peratus pengundi Cina.

Menurut Santharasekaran, dia telah mendaftarkan sebuah parti bernama Parti Rakyat India Malaysia pada 29 Mei 2019 dan mendakwa ia kini memiliki 5,000 ahli seluruh negara yang kebanyakannya terdiri daripada bekas penjawat awam serta ahli keluarga mereka.

Untuk rekod, Santharasekaran dilihat sebagai calon 'bidan terjun' pada PRK Slim selepas meletak jawatan sebagai guru untuk bertanding dalam PRK itu.

Bagaimanapun, Santharasekaran berkata peletakan jawatan sebagai guru bukan pengakhiran sebaliknya satu permulaan baru dalam karier hidupnya.

"Selepas saya mendapat tahu bahawa Adun Slim Allahyarham Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia pada 15 Julai, saya bertindak menyerahkan surat letak jawatan saya pada 17 Julai.

"Jadi, ini satu bukti saya tidak ditaja atau dibayar oleh sesiapa. Ini langkah pertama saya dalam politik.

"Saya pasti akan bertanding pada PRU akan datang. Menang atau kalah bukan penting. Yang jelas perlu berkhidmat untuk rakyat," katanya lagi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 29 Ogos.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Dalam PRK ini, Santharasekaran berdepan persaingan tiga penjuru menghadapi calon BN Mohd Zaidi Aziz dan calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mewakili parti Pejuang.