Skip to main
Logo Malaysiakini

Pencarian erti kemerdekaan seorang mahasiswa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Bermulanya tanggal 1 Ogos (atau 15 Ogos) setiap tahun, kita sedia maklum bahang bulan kemerdekaan bakal bermula, dengan kemuncaknya pada 31 Ogos (dan/atau 16 September, bersamaan Hari Malaysia!) kelak.

Setiap daripada kita, baik yang kecil mahu pun dewasa, tidak pernah terkecuali daripada mula merasainya sama ada secara sedar atau tidak.

Bendera Malaysia (atau “Jalur Gemilang” sejak 1997) mula dipacak di sepanjang jalan, di pagar-pagar dan pintu masuk bangunan, di tiang-tiang lampu dan tanda jalan (harapnya tidak mengganggu lalu lintas!), di dinding-dinding bangunan (awas jangan terbalik pula, ya) dan rumah kediaman.

Lagu-lagu patriotik mula berkumandang di media massa arus perdana (dan alternatif).

Program dan aktiviti berkaitan kemerdekaan dan patriotisme mula dirancang (semestinya patuh SOP yang digariskan KKM dan MKN) di peringkat kebangsaan, negeri, badan kerajaan dan swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah, hatta tadika sekali pun (aktiviti mewarna Jalur Gemilang di atas pelitup muka juga dikira, ya).

Setiap daripada kita secara automatik merasa terpanggil untuk menjadi sebahagian daripada kemeriahan ini.

Kemeriahan yang sewajarnya diraikan dengan penuh rasa syukur dan patriotik oleh setiap daripada warganegara sebuah negara yang mengakui dirinya ‘merdeka’ dari sebarang bentuk penjajahan.

Sesungguhnya wajar. Dan jika anda seorang mahasiswa yang mampu melaraskan aliran neuronnya secara sedar, apakah pula bentuk ‘keramaian’ yang wajar disambut?

Adakah cukup sekadar menanti detik 12 tengah malam menjelang 31 Ogos bersama rakan-rakan dan yang tersayang, dan setakat bersantai bersama-sama? Atau menanti perarakan Hari Kebangsaan keesokan paginya (jika ada) di hadapan kaca TV? Atau sekadar mengibar Jalur Gemilang di rumah kediaman, atau menjadikannya sebagai gambar profil di akaun media sosial masing-masing? Atau meletakkan tanda pagar #merdeka atau #malaysiaprihatin di setiap entri media sosial di sepanjang bulan kemerdekaan ini?

Untuk itu saya kongsikan tiga kata kunci yang mungkin boleh membantu: dalam usaha kita cuba merayakannya dengan bermakna dan bermanfaat.

Kata kunci pertama: bacalah. Bacalah sebanyak mungkin mengenai peristiwa, individu, dan tempat yang berkaitan dengan tarikh keramat 31 Ogos 1957 ini, dan kisah suka-duka perjuangan membina negara kita yang masih muda ini.

Siapakah Alan Lennox-Boyd, Burhanuddin al-Helmy

Siapakah tujuh individu yang membawa harapan rakyat Malaya ketika itu untuk merasai nikmat memerintah sebuah negara yang berdaulat ini? Siapakah Alan Lennox-Boyd dan Dr Burhanuddin al-Helmy? Siapakah dan apakah sumbangan Allahyarham Mohamed Hamzah?

Mengapa perlu diisytihar darurat yang bermula pada 1948? Apakah signifikannya gerakan komunis di negara kita? Siapakah dan apakah sumbangan PW1 Datuk Temenggong Kanang anak Langkau dan Leftenan Adnan Saidi?

Apabila kisah-kisah silam ini sudah dibaca dan difahami, maka masanya sudah tiba untuk kata kunci kedua: banggalah. Dan kata kunci ini hendaklah digunakan dalam konteks usaha kita menjadi seorang rakyat yang semakin bersyukur, bukan menjadi riak dan takbur.

Sebagai contoh, negara kita merupakan satu-satunya negara yang mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi, namun mempunyai peratusan umat Islam yang paling kecil.

Kita merupakan antara negara membangun yang paling terkehadapan jika dibandingkan dengan usia kemerdekaan yang dikecapinya (sebagai perbandingan, Malaysia dan Ghana mencapai kemerdekaan dari British pada tahun yang sama, namun kini berbeza jauh dari segi taraf sosioekonomi penduduk dan pendapatan negara).

Negara kita mempunyai kepelbagaian etnik, tradisi dan agama, tapi pada masa yang sama masih mengekalkan kepelbagaian itu, dalam suasana yang hormat-menghormati, dengan agama Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara rasmi.

Secara relatifnya kita tidak pernah berhadapan dengan sebarang konfrontasi atau konflik berdarah yang berpanjangan selepas mengecapi kemerdekaan.

Bencana alam yang dahsyat juga adalah fenomena yang terlalu asing untuk kita, biar pun negara jiran Indonesia sudah lali dengan limpahan lahar gunung berapi, gempa bumi, dan tsunami yang menelan ribuan jiwa setiap tahun.

Dan kata kunci terakhir pada kali ini, walaupun sebenarnya banyak lagi kalimat kata kunci yang ingin dikongsikan, adalah cintalah.

Apabila adanya sedikit ilmu di dada mengenai cerita-cerita di sebalik kemerdekaan dan susur galur penubuhan negara kita dan mula terdetik rasa bangga dan bersyukur dengan apa yang kita nikmati sekarang maka sudah pasti apa jua tindakan kita yang seterusnya adalah terdorong dari rasa cinta kepada negara Malaysia yang satu ini.

Biar pun kelakuan itu hanyalah sekadar membuang sampah ke dalam tempat yang sepatutnya, memastikan pelaksanaan SOP dalam setiap yang kita lakukan kerana merasakan peranan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, atau berhenti mengongsikan sesuatu yang belum ditentukan kesahihannya di media sosial dan jika ia dilakukan kerana rasa cinta kepada negara kita ini, maka itulah titik permulaan cara terbaik kita menghargai nilai kemerdekaan yang dikecapi ini.

Anda sebagai mahasiswa yang bakal menyandang jawatan ejen perubahan masyarakat pada suatu masa kelak, seharusnya memulakan langkah pencarian erti kemerdekaan ini pada hari ini, sebagai sebahagian daripada aturcara meraikan bulan kemerdekaan pertama di era pasca pandemik.

Semoga kemeriahan 31 Ogos akan lebih bermakna untuk kita semua bermula dengan dekad ketiga pada kurun ke-21 ini.


PROF MADYA DR NAHRIZUL ADIB KADRI adalah profesor madya di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, dan pengetua, Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah, Universiti Malaya. Untuk mereka yang berminat untuk berbincang lebih lanjut mengenai nilai kemerdekaan yang sepatutnya ada di kalangan mahasiswa, boleh menghubungi beliau di [email protected]

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.