Skip to main
Logo Malaysiakini

Wee setuju projek dilulus bekas presiden MCA terlalu mahal, kata Loke

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Keputusan membuka semula tender projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2) menunjukkan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong bersetuju projek yang diluluskan oleh pendahulunya bekas presiden MCA Liow Tiong Lai terlalu mahal, kata bekas menteri PH.

Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke mendakwa beberapa fakta yang dikemukakan oleh Wee semalam adalah mengelirukan.

Pada satu kenyataan di Facebook Loke pada jam 2 pagi tadi, beliau berkata presiden MCA itu seharusnya mengemukakan soalan berkenaan kepada Liow mengenai harga asal KVDT 2 bernilai RM5.265 bilion.

“Persoalan yang sepatutnya ditanya oleh Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ialah mengapa rakannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang merupakan mantan presiden MCA dan mantan menteri pengangkutan semasa projek ini diluluskan, tidak mendapatkan penilaian pihak ketiga sebelum meluluskan kontrak tersebut kepada Dhaya Maju LTAT dengan harga sebanyak RM5.26 billion sehari sebelum parlimen dibubarkan pada 4 April 2018?

“Kesimpulannya ialah bahawa pada hari ini, menteri pengangkutan MCA telah membatalkan projek KVDT2 yang diluluskan terdahulu oleh mantan menteri pengangkutan MCA kerana Menteri Pengangkutan MCA bersetuju bahawa kos asal yang diluluskan oleh mantan menteri pengangkutan MCA adalah terlalu tinggi,” kata Loke.

Wee (gambar, atas) dalam kenyataannya semalam berkata akan membuka semula tender untuk projek KVDT 2, yang merupakan projek terbesar daripada projek rundingan terus yang disenaraikan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Rabu lalu.

Wee berkata, ini kerana siasatan mendapati projek bernilai RM4.475 bilion itu masih terlalu tinggi walaupun kos dikurangkan oleh kerajaan PH sebelum ini.

Beliau memetik penilaian oleh Opaz Consultants anak syarikat Khazanah pada Oktober 2018, yang menganggarkan kos sebenar projek itu adalah RM3.398 bilion berdasarkan skop kerja Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd (DM-LTAT).

Menurut Wee, maklumat tersebut tidak pernah dimaklumkan kepada kabinet pada masa itu.

Loke (gambar, bawah) yang terkesan dengan kenyataan tersebut tampil memberikan penjelasan.

Menurut Loke, Kementerian Pengangkutan ketika itu tidak pernah melantik Opus Consultants sebagai perunding bebas dalam projek tersebut pada tahun 2018.

Malah, katanya Opus Consultants hanya membentangkan laporan kepada Kementerian Pengangkutan untuk rujukan secara sukarela tanpa apa-apa obligasi daripada kementerian tersebut.

“Laporan tersebut bukan laporan rasmi yang lengkap dan hanya berdasarkan maklumat-maklumat yang diketahui umum,” katanya.

Jelasnya lagi, pada 19 September 2018, beliau telah memberitahu kabinet bahawa penilaian pihak ketiga telah menganggarkan projek itu berharga antara RM3 bilion hingga RM3.5 bilion jika ditender semula

Katanya, ia menjadi sebab mengapa mesyuarat kabinet telah memutuskan untuk membatalkan kontrak dengan DM-LTAT.

“Wee boleh mendapatkan pengesahan terhadap fakta tersebut melalui cabutan Minit Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 19 September 2018.

“Beliau perlu memohon maaf terhadap saya di atas tuduhan yang tidak berasas tersebut,” katanya.

Kronologi peristiwa yang ditunjukkan oleh Wee semalam menyokong dakwaan PH bahawa ia telah berusaha untuk menghentikan pemberian kontrak itu dan membatalkannya melalui tender terbuka tetapi ditender semula setelah DM-LTAT membuat rayuan untuk mengelakkan tuntutan mahkamah.

Ini juga menunjukkan bahawa pentadbiran PN telah menjalankan siasatan terhadap projek tersebut sejak mengambil alih pemerintahan pada bulan Mac, yang membawa kepada keputusan terkini iaitu membatalkan projek KVDT2 untuk ditenderkan semula.

[Baca berita asal]