PRK Slim: 60 peratus keluar mengundi setakat 3 petang
Pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim mula meningkat dengan 60 peratus telah keluar mengundi setakat pukul 3 petang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan 85 peratus daripada 22,749 pengundi biasa akan keluar mengundi sebelum pengundian ditutup pukul 5.30 petang nanti.
Susulan Covid-19, pengundi diberi slot masa untuk mengundi di pusat mengundi masing-masing.
Di Trolak Pekan, warga emas Renggaiyah Marumuthu, 96, yang dipercayai sebagai pengundi tertua di Slim, memberitahu Malaysiakini bahawa dia bangun pada pukul 6 pagi untuk mempersiapkan diri sebelum keluar mengundi.
"Saya menunaikan tugas saya sebagai rakyat biasa. Menjelang pukul 8 pagi, saya sudah berada di pusat pengundian, bersedia untuk mengundi.
"Saya harap saya masih ada dalam pilihan raya akan datang untuk mengundi," katanya.
Pada kad waktunya, dia seharusnya mengundi pada waktu tengah hari, tetapi Renggaiyah mengatakan dia keluar lebih awal kerana tidak mahu terperangkap jika hujan.
Di pusat pengundian, pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan SPR dilihat mengingatkan pengundi untuk menjaga jarak sosial.
Di SK Aminuddin Baki di Sungai Slim Utara, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dilihat menyapa pengundi dan juga penyokong BN di luar sekolah.
Bercakap kepada media, Ismail mengatakan bahawa dia berharap agar SPR membenarkan pengundi yang keluar dari waktu yang diperuntukkan pada kad mereka untuk tetap mengundi.
"Saya difahamkan terdapat kes pengundi yang tidak dibenarkan memasuki pusat mengundi kerana tidak datang mengikut jadual.
"Sudah disepakati bahawa waktu yang diperuntukkan hanyalah galakan supaya tidak ada barisan panjang.
"Ini bukan wajib tetapi hanya sebagai galakan. Itu bermaksud jika mereka tidak mengikuti waktu, mereka mesti dibenarkan masuk (untuk mengundi)," katanya kepada media.
Ng Lai Chai, 61, berkata pada kadnya tertera dia sepatutnya datang pada pukul 2 petang tetapi dia sudah mengundi pukul 10.30 pagi.
"Saya ingin mengelakkan kesesakan orang ramai, jadi saya datang lebih awal," kata Ng yang datang bersama isteri dan beberapa rakannya.
Walaupun sebilangan pengundi tidak mengikuti slot masa mereka, Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom mengatakan secara keseluruhan, kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) meningkat.
SPR juga buat pertama kalinya menyediakan saluran pengundian khas untuk pengundi yang sakit atau mempunyai suhu badan yang tinggi.
Saluran ini dipantau dengan teliti oleh kakitangan yang memakai paralatan pelindung diri (PPE).
PPRK Slim menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Zaidi Aziz, calon yang disokong Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, dan seorang lagi calon bebas, Santharasekaran yang merupakan bekas guru.
Tidak ada calon yang merupakan pengundi berdaftar untuk kawasan Slim.
PRK itu diadakan berikutan kematian ahli parlimennya, Mohd Khusairi Abdul Talib, dari BN, akibat serangan jantung, 15 Julai lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai