Dr Adham: KKM akan dapatkan maklum balas kenaikan kompaun
Kementerian Kesihatan (KKM) akan mendapatkan maklum balas masyarakat sebelum meneruskan langkah seterusnya berhubung cadangan menaikkan kadar kompaun bagi pelanggaran Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ini berikutan ada pihak yang meminta agar kadar kompaun sedia ada dikurangkan bagi memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, tidak terbeban.
“Kementerian menyambut baik persetujuan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dalam pengumuman malam tadi supaya kompaun dinaikkan atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Bagaimanapun, kita akan tengok respons rakyat,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan 100,000 helai pelitup muka kepada Pertubuhan Gabungan Tahfiz Negeri Johor dan Pelancaran Harga Pelitup Muka Econsave di Econsave Taman Daiman Jaya di Kota Tinggi, hari ini.
Semalam, dalam perutusan khasnya perdana menteri menyokong cadangan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah sebelum ini agar kompaun RM1,000 terhadap mereka yang melanggar akta berkenaan dinaikkan.
Sementara itu, mengenai premis perniagaan tidak lagi perlu merekodkan suhu badan pengunjung, Dr Adham berkata kementerian tersebut tetap dengan pendirian langkah berkenaan adalah penting bagi mengesan mereka yang bergejala.
Katanya langkah itu juga masih diamalkan oleh negara luar yang memastikan mereka bersuhu badan 37.5 darjah Celsius ke atas diasing untuk menjalani saringan awal COVID-19.
“Kewajaran untuk menggunakan pendekatan suhu masih diperlukan dan pemilik-pemilik premis masih digalakkan berbuat demikian bersama-sama dengan pemakaian pelitup muka,” katanya.
Isu pengambilan suhu badan yang direkodkan di dalam buku pengunjung premis menjadi polemik dalam kalangan netizen susulan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin bahawa perkara itu bercanggah dengan kerangka tatacara pengendalian dan penyimpanan data peribadi yang ditetapkan kerajaan.
Selain itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dilaporkan berkata premis perniagaan tidak lagi perlu mengambil dan merekodkan suhu badan pengunjung.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai