Skip to main
Logo Malaysiakini

SPR: Tak salah datang mengundi pakai seluar pendek

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh berkata salah faham mungkin punca beberapa pengundi berseluar pendek tidak dibenar memasuki pusat pembuangan undi hari ini.

Ini kerana katanya berseluar pendek bukan satu kesalahan menurut peraturan SPR, sebaliknya larangan hanya terpakai kepada mereka yang berpakaian tidak sopan atau mencolok mata.

"Berseluar pendek ini pada saya masih kita benarkan. Kita harap mereka ini datang balik mengundi, jangan merajuk. Dari segi peraturan tiada masalah, mungkin ada tersalah dari segi pelaksanaan," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki, di Tanjung Malim hari ini.

Dia mengulas satu insiden di sekolah itu pagi tadi apabila beberapa pengundi yang hadir berseluar pendek tidak dibenar memasuki pusat pengundian dan sesetengahnya pula dilihat mengoyakkan kad pengundi yang diberikan SPR kerana marah.

Bernama difahamkan beberapa pengundi tersebut yang kembali ke pusat pengundian selepas dipujuk oleh ejen parti dibenarkan mengundi manakala yang lain pula datang semula dengan berseluar panjang.

Sementara itu, Abdul Ghani menasihati pengundi yang belum menunaikan tanggungjawab agar datang bersendirian susulan ada segelintir yang turut membawa ahli keluarga.

Menurutnya tindakan itu hanya menyumbang kepada kesesakan di pusat pembuangan undi sedangkan negara masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Dia juga berkata SPR berharap dapat mencapai sasaran 85 peratus pemilih keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim itu.

Setakat satu tengah hari tadi, kira-kira 41 peratus daripada 22,749 pengundi biasa telah menjalankan tanggungjawab mereka.

Abdul Ghani turut menyeru pemilih muda keluar mengundi berikutan pemerhatiannya mendapati saluran lima dan enam yang diperuntuk untuk golongan itu agak lengang.

PRK DUN Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas iaitu S. Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

-Bernama