Skip to main
Logo Malaysiakini

PKPD: Lebih 3,200 penduduk Amanjaya telah disaring

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seramai 3,216 penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Amanjaya, Sungai Petani, sudah disaring sehingga pukul 8 malam tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata secara keseluruhannya seramai 22,360 isi rumah yang tinggal di kawasan Zon Kenanga, Melur dan Mawar akan disaring petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

“Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah membuka enam pusat pengambilan sampel Covid-19 dengan dua tempat disediakan bagi setiap zon. Seramai 700 anggota kesihatan ditugaskan untuk membuat saringan yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.

“Sehingga pukul 8 malam tadi, sebanyak 14.4 peratus penduduk telah disaring dan sampel berkenaan telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh, Perak dan Sungai Buloh, Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mohd Fikri berkata Jabatan Kesihatan negeri juga menjalankan aktiviti promosi kesihatan di tiga zon yang terlibat termasuk menerusi hebahan awam, edaran risalah, taklimat, perbincangan kumpulan kecil serta perkongsian maklumat di media sosial.

“Aktiviti-aktiviti ini dapat mengurangkan kebimbangan penduduk di kawasan yang terlibat. Jabatan Kesihatan negeri juga menyeru semua masyarakat di Kedah dapat mematuhi prosedur operasi standard dan membudayakan norma baharu dalam usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19 ini,” katanya.

Khamis lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD secara pentadbiran di Amanjaya yang bermula semalam sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.