Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 11 kes baru, hanya 1 penularan tempatan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 11 kes baru Covid-19 yang dilaporkan hari ini, dengan hanya satu kes melibatkan penularan tempatan.

Kes tersebut melibatkan warga Malaysia di Sabah yang dikesan positif ketika saringan prapembedahan di Hospital Umum Sarawak.

Sepuluh kes import pula melibatkan enam warga Malaysia dan empat bukan warga.

Lapan daripadanya dijangkiti di India, dan baki dua kes di Indonesia dan Qatar.

Sementara itu, seramai lapan pesakit sembuh hari ini, menjadikan jumlah kes sembuh kepada 9,038 kes iaitu 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ialah 154 kes," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham dalam kenyataan hari ini.

Terdapat lapan pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kes kematian melibatkan pesakit Covid-19 yang dilaporkan hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata KKM telah menjalankan ujian saringan ke atas kesemua 109 kontak rapat pesakit Covid-19 yang kini dirawat di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak di Melaka.

Ia susulan tiga kes positif yang disahkan di hospital itu beberapa hari lalu, melibatkan seorang tentera dan dua orang awam.

Menurut Noor Hisham, KKM dimaklumkan mengenai perkara itu pada 27 Ogos lalu dan telah melakukan pengesanan kes secara aktif.

"(109 kontak rapat) telah disaring dan masih menunggu keputusan. Saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan masih diteruskan.

"Surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah diberikan kepada kontak rapat. Bagi individu yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan teruk, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi dan rawatan lanjut," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.