Amir: PRK Slim ibarat pokok baru nak tumbuh
PRK SLIM | Calon Bebas Amir Khusyairi yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berkata PRK itu merupakan suatu langkah permulaan ibarat pokok yang baru hendak tumbuh.
"Saya percaya sebagai sebuah pokok kecil baru nak tumbuh... baby tree.
"Jadi ini satu titik tolak langkah pelanjutan kita selepas ini sama macam saya katakan sebelum ini bahawa ini adalah permulaan kita.
"Kita tunggu selepas ini dan terus bergerak ke hadapan," katanya di sidang media di Bilik Gerakan Utama, Taman Slim Perdana, Slim River, malam tadi.
Amir calon yang disokong Pejuang bertanding pada PRK Slim menggunakan simbol pokok kerana partinya masih belum didaftarkan.
Beliau seorang peguam syarie berusia 38 tahun itu kalah kepada calon BN, Mohd Zaidi Aziz yang meraih 13,060 undi.
Zaidi menang dengan majoriti besar 10,945 undi, berbanding Amir yang mendapat 2,115 undi dan Santharasekaran dengan 276 undi.
Amir berjaya mendapat sejumlah 13.6 peratus undi, menandakan dia tidak hilang deposit.
Bagaimanapun, Santharasekaran hilang wang pertaruhan RM5,000.
Terdahulu, Amir berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan PRK ini dan mengucapkan tahniah kepada Zaidi yang diangkat sebagai Adun Slim yang baru.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan PRK itu.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak SPR, PDRM, Bomba, KKM yang telah bertungkus lumus memantau kempen dan memastikan kempen berjalan dengan lancar dan baik," katanya.
Amir tewas di kesemua Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk kawasan majoriti pengundi Cina dan India.
Pada PRU14, calon Bersatu, Mohd Amran Ibrahim yang bertanding atas tiket PKR menang enam PDM di mana kebanyakannya merupakan pengundi majoriti Cina dan India.
PRK Slim diadakan berikutan Adunnya, Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.
Pada PRU14, Allahyarham Mohd Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.
Dun Slim mempunyai 23,181 pengundi di mana 75 peratus pengundi adalah berbangsa Melayu, diikuti kaum India (13 peratus), Cina (10 peratus), dan lain-lain (dua peratus).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai