Skip to main
Logo Malaysiakini

Hamzah tolak pandangan Bersatu lari dari matlamat asal

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin menolak pandangan bahawa parti itu telah tersasar daripada matlamatnya apabila membuka keahlian kepada kaum bukan Melayu.

Hamzah berkata pandangan beberapa pihak berkenaan adalah "tidak tepat" kerana perlembagaan parti itu telah memperuntukkan kemasukan anggota bersekutu bukan Melayu.

"Perlembagaan Bersatu sedia ada telah pun memperincikan perihal berkaitan Ahli Bersekutu seperti dalam Fasal 7 (Keahlian), Fasal 8 (Pendaftaran Keahlian) dan Fasal 9 (Tanggungjawab dan Hak Ahli)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamzah berkata, Bersatu sedang mengkaji cadangan penubuhan Badan Anggota Bersekutu, seperti diumumkan oleh presiden parti yang juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Kongres Nasional 2020, hujung minggu lalu.

"Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sedang mengkaji cadangan untuk menubuhkan Badan Ahli Bersekutu yang akan membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih bermakna di dalam parti.

"Oleh yang demikian, kenyataan dari beberapa pihak yang mendakwa Bersatu telah lari daripada matlamat asal dengan membuka keahlian kepada bukan bumiputera adalah tidak tepat," kata anggota parlimen Larut itu.

"Sebagai sebuah parti politik yang berpandangan jauh dan inklusif, Bersatu mengiktiraf sumbangan serta peranan ahli bersekutu dan akan terus memperkasakan penglibatan dalam kalangan mereka dari semasa ke semasa," tambah Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri.

Awal bulan ini, anggota parlimen Segamat dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar menjadi yang pertama menyertai Bersatu, setelah dipecat dari PKR.

Langkah Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Melayu mendorong veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa pemimpin Umno yang menganggotai kabinet Perikatan Nasional (PN) agar menarik diri daripada kerajaan.

Razaleigh berkata, ini kerana langkah tersebut menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam "pakatan Melayu-Islam yang didukung Muafakat Nasional (MN)".

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BN, Annuar Musa menolak gesaan tersebut dengan mengatakan Razaleigh mungkin lupa bahawa tidak semua ahli Umno dan PAS merupakan kaum Melayu dan beragama Islam.