Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersatu tak signifikan, MN lebih menjadi di Slim, kata Saifuddin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menunjukkan bahawa Bersatu tidak signifikan sebaliknya kerjasama Umno-PAS dalam Muafakat Nasional (MN) nampaknya semakin jitu.

"Tahniah kepada calon BN (Mohd Zaidi Aziz) yang menang. .

"Pada pandangan saya, Bersatu tidak signifikan langsung. Ini kerana jentera Bersatu tiada kelihatan di PRK Slim ini.

"Sebaliknya, gabungan Umno-PAS lebih menjadi dan ini cabaran buat PH," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan PRK Slim yang memihak kepada BN.

Amir tak hilang deposit

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi mengumumkan calon BN, Zaidi Aziz memenangi pilihan raya kecil (PRK) Slim.

Zaidi menang besar dengan majoriti 10,945 undi, berbanding Amir yang mendapat 2,115 undi dan Santharasekaran dengan 276 undi.

Kemenangan calon BN itu jauh mengatasi margin kemenangan BN pada PRU14 iaitu sebanyak 2,183 undi.

Bagaimanapun, Amir berjaya mendapat sejumlah 13.6 peratus undi, menandakan dia tidak hilang deposit, manakala Santharasekaran pula hilang wang pertaruhan RM5,000.

SPR berkata jumlah pengundi pada PRK berkenaan adalah sebanyak 68.4 peratus.

Sementara itu, Saifuddin yang juga ketua sekretariat PH berkata tidak memadai bagi parti Pejuang sekadar bergantung kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Pejuang yang baru bertunas, terlalu bergantung kepada pengaruh Tun M. Ternyata tidak memadai untuk dapat sokongan rakyat.

"Sokongan Melayu ternyata tidak pergi kepada Tun M seperti yang dipercayai sebelum ini oleh sesetengah pihak," katanya.

Untuk rekod, parti Pejuang parti serpihan Bersatu diumumkan oleh Dr Mahathir tiga hari sebelum PRK Slim dan masih dalam proses pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ini selepas Dr Mahathir dan penyokongnya yang tidak sehaluan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dipecat daripada Bersatu.

PH kaji corak pengundian

Berhubung kemenangan besar BN di PRK Slim, Saifuddin yang juga ahli parlimen Kuli-Bandar Baharu berkata PH akan mengkaji corak sokongan pengundi Slim.

"PH akan menganalisis corak sokongan rakyat dalam PRK Slim.

"Ini adalah untuk menyusun strategi yang betul untuk PRU 15," katanya.

PRK Slim diadakan berikutan penyandang kerusi DUN itu, Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Pada PRU14, Allahyarham Mohd Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

DUN Slim mempunyai 23,094 pengundi di mana 75 peratus pengundi adalah berbangsa Melayu, diikuti kaum India (13 peratus), Cina (10 peratus), dan lain-lain (dua peratus).