PN selesaikan agihan kerusi di Sabah minggu depan - Annuar
Setiausaha Agung BN, Annuar Musa berkata isu pembahagian kerusi di kalangan Bersatu, PAS dan BN, serta parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan diselesaikan pada pertengahan minggu depan.
"Untuk Sabah, kami sekarang sedang mengagihkan (kerusi) sehingga kami dapat bertanding satu lawan satu dengan Warisan.
"Menjelang pertengahan minggu depan, kita seharusnya dapat menyelesaikan dari segi pembahagian kerusi di antara parti-parti PN,” katanya selepas calon BN Mohd Zaidi Aziz diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Slim malam semalam.
Anggota Parlimen Ketereh itu berkata kejayaan BN meraih kemenangan pada PRK Slim akan membawa faktor kemenangan gabungan itu pada PRN Sabah.
“Kita mensasarkan sekitar 8,000 (undi), (tetapi) kita dapat lebih 10,000 undi. Satu pencapaian yang terbaik.
“Tapi tak harus melalaikan kita.. cuma feel good factor ini dapat dibawa ke Sabah," kata Annuar.
Tambah Annuar, tiada istilah 'rehat' bagi BN memandangkan jentera pilihan rayanya perlu bersiap sedia menghadapi PRN Sabah yang ditetapkan pada 26 September depan.
"Seluruh jentera BN no holiday, kita akan terus buat persiapan untuk PRN Sabah,” katanya.
PRN Sabah menjadi pelopor kerjasama antara BN dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) serta Perikatan Nasional (PN) yang akan dilancarkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin secara rasmi tidak lama lagi.
Kerajaan persekutuan kini diterajui oleh PN yang dipimpin oleh Muhyiddin dan membentuk gabungan yang terdiri daripada Bersatu, bekas ahli parlimen PKR< BN, PAS dan GPS.
Bagaimanapun sebelum ini ,Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu memutuskan untuk tidak menyertai PN secara rasmi tetapi akan terus memperkasakan MN bersama-sama PAS dan parti komponen BN yang lain.
Menurutnya, sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan anggota parlimen Umno dan BN di Dewan Rakyat dan Adun di peringkat negeri.
Empat parti ketika ini bergabung dalam PN iaitu Bersatu, PAS dan parti dari Sabah, Star dan SAPP. MIC dari BN pada awalnya bersedia menyertai gabungan itu tetapi kemudian membatalkan hasrat tersebut.
Meskipun PN akan melancarkan logo barunya tidak lama lagi - yang juga berkemungkinan digunakan pada PRN akan datang - BN Sabah pula mahu menggunakan logo BN.
PAS juga menyatakan kesediaan menggunakan logo BN.
Bersatu juga baru-baru ini menyertai pakatan MN, namun hubungan antara parti-parti yang berasaskan Melayu-Islam itu, terutamanya antara Umno dan Bersatu, dilaporkan keruh dalam beberapa isu.
Antaranya dari segi pembahagian kerusi pada PRU15 kerana ketiga-tiganya bersaing untuk mendapatkan kawasan undi yang sama.
Meskipun begitu, Annuar menegaskan tiada sebarang masalah dan ketiga-tiga parti tersebut bekerjasama dengan baik, seperti yang dilihat pada pilihan raya kecil Slim.
“(Kerjasama antara) Umno, PAS dan Bersatu semakin kuat dan ia mencerminkan jumlah suara yang kami peroleh. Dari bilangan (undi), jelas bahawa kombinasi ketiga-tiga parti berjalan lancar.
"Jadi tidak ada masalah, malah kita telah membincangkan di belakang tabir..dari Bersatu, PAS, BN dan juga parti komponen dari Sabah.
“Setakat ini, kita tidak punya masalah, tetapi kita sedang menyelesaikan (sebarang isu). Saya rasa, dalam beberapa hari, kita akan dapat lihat,” kata ahli majlis tertinggi Umno itu.
Ketika ditanya mengenai pilihan raya umum, Annuar berkata sudah tiba masanya ia diadakan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai