PRK Slim: Mungkin dah sampai masa Dr M fikir persaraan - NGO belia
ULASAN | Kekalahan teruk calon tajaan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah satu isyarat jelas bahawa anak muda sudah letih melayan karenah politik Malaysia yang dipelopori oleh wajah-wajah yang sama, tanpa hala tuju yang jelas.
Rata-rata Orang Melayu sudah pun memberi peluang kepada PH untuk memerintah namun mereka dikecewakan dengan prestasi kerajaan itu lantaran membuat keputusan untuk tidak lagi memberi sokongan.
Orang Melayu sudah muak dimomokkan dengan kisah pencuri, penyamun berulang-ulang kali sedangkan pencuri dan penyamun ini pun sedang berpeluh menghadapi kes di mahkamah untuk menyumbat mereka ke dalam penjara.
Orang Melayu juga tidak malas dan tidak suka digelar malas. Buka mata dan turun ke lapangan. Lihat ramai anak muda Melayu yang bertungkus lumus serta bermatian kerja siang dan malam demi survival mereka.
Janganlah khianat mandat rakyat dengan memperbodohkan rakyat seperti “kami tak sangka menang, sebab tu kami berjanji” atau “Kami ingat kalah, kami letaklah perkara susah dalam manifesto” mahupun “terima kasih atas pandangan, tapi anda bukan kerajaan”.
Adakah Melayu mudah lupa? Melayu tidak lupa. Mereka ingat semua ini dan mereka menghantar isyarat pada setiap PRK diadakan.
Rakyat sudah bosan dengan modal kempen buruk-memburuk, label melabel. Rakyat mahukan penyelesaian segera.
Modal kempen pencuri, penyamun, penyangak sudah tidak lagi relevan.
Peratusan undi menunjukkan sokongan kaum Melayu, Cina dan India sudah meningkat kepada BN. Ini satu isyarat jelas bahawa Tun Dr Mahathir sudah tidak lagi berpengaruh. Mungkin sudah tiba masanya Tun memikirkan tentang persaraan.
Kecekapan kerajaan menangani Covid-19 juga membataskan isu kempen pembangkang. Tidak banyak isu yang boleh dibangkitkan selain daripada isu ‘pembelian’ wakil rakyat.
Malangnya, orang Semenanjung tidak peduli keadaan politik di Sabah. Bercerita tentang ‘pembelian’ wakil rakyat Sabah kepada pengundi di Slim hanyalah membuang masa. Isu lokal tetap menjadi keutamaan setiap PRK.
Adakah Kadir Jasin tidak sedar lagi? Dah kalah teruk TKO pun masih salahkan dengan memanggil orang Melayu ‘peasant’ pula?
Deposit pun nyaris terbakar. Insaflah. Muhasabah diri. Fikirlah cara baru untuk menangi hati pengundi Melayu selepas manifesto dikhianati.
Perbezaan umur yang jauh mungkin penyebab ‘social disconnection’ ini. Dengan kehadiran #Undi18, gelombang ombak anak muda akan menghempas pantai-pantai tua dan rapuh ini sehingga pasirnya tenggelam ke dasar laut tak timbul lagi.
Henti salahkan orang lain. Tetapi lihatlah pada diri sendiri dan baiki kelemahan. Ingatlah bahawa rakyat berkuasa mengangkat dan menumbangkan sesebuah kerajaan.
Justeru jangan perbodohi dan menghina rakyat lagi. Setiap kerajaan termasuk kerajaan Perikatan Nasional ambil iktibar dari keputusan Slim ini.
MOHAMAD SIDDIQ MOHD AZANI merupakan Setiausaha Agung NGO Pertubuhan Gerakan Revolusi Anak Malaysia (G3RAM).
Artikel ini pandangan penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai