Kenyataan Zawawi beri duluan buruk di parlimen, kata MP Bandar Kuching
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii berkata, kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menyifatkan kitab Injil dipesong, memberikan duluan (precedent) yang buruk di Parlimen.
"Anggota parlimen harus menunjukkan contoh untuk mempromosikan perpaduan dan tidak memecah belahkan kita.
"Itulah sebabnya saya akan terus mengikuti perkembangan berhubung perkara ini. Ini bukan kerana saya 'tersinggung' atau 'tidak dapat memaafkan', tetapi kita perlu menggariskan bahawa tiada sesiapa yang melangkaui undang-undang, di parlimen sekali pun," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kata Yii, dia sudah mengirim surat kepada speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36 (10) (c) untuk mendapatkan keputusan mengenai pernyataan Zawawi, yang menurut Yii melampaui batas dan boleh dianggap sebagai menghina kepercayaan Kristian.
Yii juga membangkitkan isu itu minggu lalu di Parlimen untuk mendesak Dewan Rakyat membuat keputusan.
Dia juga menyatakan rasa kesal kerana Zawawi enggan meminta maaf.
Yii berkata, ucapan Zawawi menunjukkan kurangnya pemahaman oleh pemimpin PAS itu terhadap sensitiviti komuniti di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Zawawi membuat kenyataan yang menjadi pertikaian itu di Dewan Rakyat pada Rabu lalu ketika membahaskan RUU pindaan Akta Pengangkutan Jalan, yang bertujuan meningkatkan hukuman kerana memandu dalam keadaan mabuk.
Zawawi berkata tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.
Dia kemudian dicelah oleh Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang mengatakan bahawa kenyataan Zawawi itu tidak tepat dengan memberitahu bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.
Ngeh turut meminta supaya Zawawi memperbetulkan kenyataannya.
Zawawi bagaimanapun ketika itu mempertahankan kenyataannya.
Susulan daripada itu, Persatuan Gereja di Sarawak menggesa Zawawi menarik semula kenyataannya itu dan memohon maaf.
Zawawi bagaimanapun merasakan bahawa tiada sebab untuk dirinya meminta maaf dan berkata dia sama sekali tidak berhasrat untuk memburukkan mana-mana agama.
Zawawi juga berkata tiada pihak yang seharusnya tersinggung dengan kenyataannya itu dan dia bersedia berdialog secara harmoni mengenainya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai