'Insiden terputus bekalan elektrik jejas imej pelancongan Terengganu'
Insiden bekalan eletrik terputus di Pulau Kapas, Terengganu beberapa hari lepas tidak sepatutnya berlaku kerana ia menjejaskan sektor pelancongan yang juga industri utama bagi negeri itu.
Bekas Pengerusi Persatuan Pelancongan Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah, berkata insiden seperti itu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan kerana ia memberi kesan kepada imej Terengganu.
"Insiden ini mesti diberi perhatian serius kerana pengusaha hotel di Pulau Kapas telah mengalami masalah sejak beberapa minggu sudah dan perancangan untuk menambah baik bekalan telah begitu lama tertangguh.
"Ada pelancong di pulau terpaksa dipindah ke tanah besar dengan bot di tengah malam dengan risiko tinggi keselamatan nyawa. Jika apa-apa kemalangan berlaku ia sudah tentu akan menjejas imej keselamatan Terengganu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Raja Bahrin berkata, selain isu infrastruktur asas seperti bekalan eletrik ke pulau-pulau peranginan, kemudahan hubungan pengangkutan udara terus ke lapangan terbang Kuala Terengganu, yang bertaraf "antarabangsa", dari destinasi utama seperti Singapura dan Pulau Pinang juga sudah tidak beroperasi lagi.
Bahkan bilangan penerbangan ke lapangan terbang Terengganu kurang separuh berbanding penerbangan di Kota Bharu, walaupun Kelantan tidak mempunyai satu pun pulau pelancongan seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Pulau Lang Tengah.
"Polisi serta garis panduan rekreasi, kebudayaan serta kesenian dan hiburan masih belum jelas walaupun sudah dua tahun kerajaan baru PAS mengambil alih.
"Kenyataan tidak konsisten dari kerajaan tentang pantang larang serta garis panduan di negeri menimbulkan banyak keraguan dan kebimbangan pengusha pelancongan.
"Kerajaan negeri mesti memberi perhatian utama memelihara warisan dan aset warisan untuk memajukan industri pelancongan Terengganu kerana inilah industri masa depan yang akan menjadi tunggak utama penyelamat ekonomi Terengganu apabila minyak dan gas sudah tiada lagi," tegas Raja Bahrin.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai