Indira Gandhi batalkan mogok lapar
M Indira Gandhi dan Pasukan Bertindak Indira Gandhi Ingat) membatalkan rancangan mogok lapar selepas mendapat janji temu dengan Ketua Polis Negara (IGP) Abdul Hamid Bador.
Pertemuan itu bagi membincangkan isu mengenai kehilangan anak perempuan Indira, Prasana Diksa.
Ingat memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan akan diadakan pada jam 9 pagi, 3 September di Bukit Aman.
"Ingat berasa sangat senang dengan sikap muhibah dari IGP dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Pertemuan tersebut akan dihadiri oleh Indira Gandhi, Ambiga Sreenivasan, saya dan Sachpreetraj Singh Sohanpal, Tetuan Raj & Sach," kata ketua Ingat, Arun Dorasamy.
"Kami menantikan perbincangan dan taklimat lengkap mengenai kemas kini siasatan sejak 17 April 2019, ketika penubuhan pasukan petugas khas untuk mencari anak perempuan Indira," katanya.
Ingat mengatakan pihaknya ingin mendapatkan penjelasan mengenai perkembangan semasa daripada Kementerian Dalam Negeri di parlimen baru-baru ini, mengenai kes Indira Gandhi.
Pada 12 Ogos, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memberitahu parlimen bahawa bekas suami Indira yang merupakan seorang mualaf, Muhammad Ridzuan Abdullah, dipercayai tinggal di luar negara dan sering berpindah-randah untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Hamzah berkata, PDRM telah berkunjung ke alamat Muhammad Ridzuan seperti yang disenaraikan di Jabatan Pendaftaran Negara dan mendapati dia tidak lagi tinggal di sana.
Namanya juga telah disenarai hitam dalam rekod Jabatan Imigresen, bagi mengesan dan menahannya jika dia cuba melarikan diri ke luar negara.
Arun mengatakan Ingat bersedia untuk berkongsi beberapa maklumat mengenai siasatan dan sedia menunggu untuk bertemu dengan pegawai baru yang bertanggungjawab dalam siasatan itu.
"Kami berharap pertemuan ini dapat membawa kes ini ke jalan penyelesaian secepat mungkin.
"Sebelas tahun, lima IGP, tiga kerajaan yang mentadbir dan kami masih lagi tidak dapat mengesan atau membawa pulang Prasana seperti menurut perintah Mahkamah Persekutuan," katanya.
Bulan lalu, Indira dan Ingat mengatakan mereka merancang untuk mengadakan "mogok lapar susulan kesudahan yang baik dan gembira” di pekarangan ibu pejabat polis Bukit Aman pada 11 September dari jam 9 pagi hingga 5 petang jika IGP tidak bersetuju untuk bertemu dengan mereka pada 31 Ogos.
Pada Januari, IGP mendedahkan bahawa dia mengetahui keberadaan bekas suami Indira dan telah menggesanya menyerahkan diri meskipun terdapat waran tangkap dari Mahkamah Persekutuan terhadap Ridhuan.
Abdul Hamid sebelum ini berharap terdapat “happy ending” (penyelesaian yang baik) dalam kes itu selepas perselisihan berhubung hak penjagaan anak selama 10 tahun.
Riduan, yang sebelum memeluk Islam dikenali sebagai K Pathmanathan, melarikan Prasana pada 2009 ketika dia berusia 11 bulan, tidak lama selepas menukar agama.
Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan IGP Khalid Abu Bakar untuk menangkap Riduan dan mengembalikan semula perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh dua tahun lebih awal untuk mendapatkan semula Prasana.
Perintah mandamus adalah perintah mahkamah yang memaksa seorang pegawai kerajaan untuk memenuhi kewajipan rasmi mereka.
Pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan membatalkan pertukaran agama Prasana dan dua adik beradiknya kepada Islam.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai