Skip to main
Logo Malaysiakini

Bung, Rahman Dahlan berdamai menjelang PRN Sabah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyaksikan perdamaian antara dua pemimpin Umno Sabah, Bung Moktar Radin dan Abdul Rahman Dahlan, menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.

Zahid mengongsikan gambarnya bersama-sama Bung, pengerusi Umno negeri, dan Abdul Rahman yang merupakan anggota Majlis Tertinggi (MT), di Twitter.

Kedua-duanya kelihatan tersenyum dan mesra, dua minggu selepas Rahman mengadakan sidang media untuk menolak pelantikan Bung sebagai pengarah pilihan raya BN bagi PRN Sabah.

"Meraikan perbezaan pendapat dan saling memaafkan memerlukan seseorang itu berjiwa besar dan sentiasa berlapang dada.

"Datuk Seri Moktar dan Datuk Seri Rahman Dahlan merupakan contoh terbaik," katanya mengiringi gambar itu.

Sekeping lagi gambar yang dikongsi Zahid memaparkan Bung, Rahman, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid dan Timbalan Pengerusi Umno Sabah Yaakob Khan berada di pentas dan mengangkat tangan.

 "Ketepikan perbezaan pendapat, noktahkan segala perbalahan. Kerja kuat dan laksanakan semangat berpasukan agar BN menang semula dalam PRN.

"Inilah peluang kedua diberikan kepada Umno dan BN untuk terus perjuang nasib rakyat," katanya sambil menambah itulah pesanannya kepada Umno Sabah dalam satu pertemuan di Ranau, pagi tadi.

Ketika dihubungi, Bung mengesahkan bahawa dia telah berbaik dengan Rahman, yang juga pengerusi Umno Tuaran.

"Apa yang berlaku sebelum ini adalah perbezaan pendapat di kalangan pemimpin dan kita hormatinya secara positif. Dalam perjuangan, pemimpin Umno perlu bersatu. Maka kesilapan perlu dilupakan," katanya kepada Malaysiakini.

Rahman juga membayangkan kesediaannya untuk berdamai, apabila pada Sabtu lalu menyatakan "perbezaan pendapat adalah lumrah politik".

"Ada masa untuk tak bersetuju tetapi sekarang masa untuk BN dan rakan-rakan menang di Sabah. Untuk sekarang, ia lebih penting," ciapnya di Twitter.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rahman berkata sebagai anggota MT dan ketua Umno Tuaran, dia bertanggungjawab untuk memastikan BN menang dalam PRN tersebut.

"Perbezaan pendapat masih boleh dan perlu diurus di masa akan datang kerana ia tidak terkekang dengan had masa.

"Pilihan raya pula ada had masa dan perlu diberi keutamaan. Ia tidak boleh ditangguh," katanya.

Bulan lalu, Rahman membuat kemunculan mengejutkan di Kuala Lumpur, dengan mengetuai sekumpulan 12 ketua bahagian Umno Sabah untuk mengumumkan bantahan terhadap pelantikan Bung.

Ketika itu, dia menyifatkannya sebagai "langkah bunuh diri" oleh BN memandangkan Bung sedang berdepan perbicaraan kes rasuah di mahkamah.

Ia susulan pengumuman Zahid berkenaan pelantikan itu dengan berkata Bung memiliki autonomi penuh untuk mengendalikan pilihan raya termasuk untuk memilih calon ketua menteri jika BN menang pada 26 September ini.