Skip to main
Logo Malaysiakini

Hadi orang pertama tandatangan SD sokong saya jadi PM, dedah Muhyiddin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selepas enam bulan pentadbiran Perikatan Nasional (PN), Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin hari ini mendedahkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang merupakan orang pertama yang menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menamakan ahli parlimen Pagoh itu sebagai perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Ia kemudian diikuti pimpinan parti-parti lain yang membawa kepada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong setelah mantan perdana menteri meletak jawatan dan saya mendapat sokongan majoriti ahli-ahli parlimen dari parti Bersatu, Barisan Nasional, PAS, GPS, STAR dan PBS.

“Antara yang paling awal menyokong saya ialah YB Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, ahli parlimen Marang dan presiden PAS yang ada di sini pada hari ini. Terima kasih saya ucapkan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen setengah tahun pentadbiran Perikatan Nasional (PN), di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut menyampaikan ucapan dalam konvensyen itu adalah Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, serta Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan ketua pemudanya Khairil Nizam Khiruddin.

Presiden dan ketua pemuda Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dijadual berucap bagaimanapun tidak hadir.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau secara peribadi tidak menjangka akan dilantik sebagai perdana menteri ketika krisis politik berlaku hujung Februari.

“Tetapi oleh kerana berlakunya krisis politik yang agak rumit pada ketika itu, rakan-rakan pimpinan parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional hari ini mencadangkan nama saya sebagai perdana menteri. Setelah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa saya mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, maka jadilah saya perdana menteri.

"Keberadaan saya di sini hari ini selain daripada ketentuan Allah Yang Maha Kuasa adalah kerana sokongan yang saya terima daripada ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Sebagai perdana menteri, tugas saya yang pertama menurut Perlembagaan Persekutuan ialah membentuk kabinet. Maka saya telah membentuk kabinet saya yang menggabungkan ahli-ahli parlimen dari parti-parti yang menyokong saya, seorang ahli perbankan dan seorang mantan mufti. Kabinet inilah yang membentuk sebuah kerajaan yang dinamakan kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

6 bulan tempoh percubaan

Muhyiddin berkata, tempoh enam bulan kerajaan PN adalah satu jangka masa yang singkat untuk dinilai pencapaiannya.

“Dalam keadaan biasa, enam bulan adalah umpama tempoh percubaan atau probation period. Sudah pasti tempoh yang agak lebih lama diperlukan untuk membuat penilaian yang lebih komprehensif tentang pencapaian sesebuah kerajaan,” katanya sambil memaklumkan beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai prestasi pentadbirannya.

Turut menyampaikan ucapan dalam konvensyen itu adalah Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, serta Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan ketua pemudanya Khairil Nizam Khiruddin.

Presiden dan ketua pemuda Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dijadual berucap bagaimanapun tidak hadir.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri, pada 29 Februari lalu selepas mendapat sokongan majoriti ahli parlimen terdiri daripada, BN, Bersatu, PAS, GPS dan parti di Sabah dan Sarawak.

Untuk rekod, Abdul Hadi pada 1 Februari lalu menegaskan PAS tetap teguh untuk membawa usul undi percaya dalam Dewan Rakyat bagi menyokong kepimpinan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sehingga habis penggal.

"Ya, (PAS) masih mengekalkan sokongan kepada Tun (Mahathir) dan masih lagi mempertahankan Tun untuk menjadi perdana menteri, kerana suasana yang ada ini Tun perlu jadi perdana menteri," katanya ketika itu sebelum menukar pendiriannya menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri pada hujung Februari.