Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda PAS: PN dijangka bincang isu calon YDP Dewan Negara malam ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) dijangka akan berbincang mengenai isu lantikan Yang di-Pertua baru Dewan Negara malam ini, menurut Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin.

Khairil Nizam berkata perkara itu perlu diputuskan secara konsensus.

Ia susulan dakwaan sumber bahawa Umno turut menyerahkan calon sendiri bagi mengisi jawatan itu walaupun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah mencadangkan Dr Rais Yatim.

“Saya yakin pada malam ini barangkali akan ada berlaku mesyuarat tergempar antara ketiga-tiga komponen PN ini untuk menentukan siapa yang lebih layak dipilih.

“Sebab kita kena konsensus dalam hal ini. Saya bukan ahli senator Dewan Negara tapi cuma insya-Allah arahan-arahan akan diberikan kepada senator di bawah PAS berteraskan kepada perbincangan diperingkat Majlis Presiden,” katanya kepada Malaysiakini.

Khairil mengulas pencalonan beberapa lagi nama bagi mengisi kekosongan jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara.

Umno didakwa mencalonkan senator Mohamad Ali Mohamad pada 31 Ogos lalu, iaitu dua hari sebelum sidang berlangsung.

Mohamad Ali

Hal itu menarik perhatian kerana ia membayangkan Umno sendiri tidak menerima pencalonan Rais walaupun pemimpin Bersatu Negeri Sembilan itu asalnya dari parti mereka.

Dua lagi calon ialah Yusmadi Yusof (PKR) dan Theodore Douglas Lind (Warisan).

Mohamad Ali yang dihubungi Malaysiakini juga mengesahkan tahu dirinya mahu dicalonkan walau tidak dapat mengesahkan bahawa namanya sudah dicalonkan secara rasmi atau tidak.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika ditemui Malaysiakini berkata pihaknya baru dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Saya pun baru terima berita tersebut dan esok saya pun akan mengundi dan saya akan ikut arahan daripada pimpinan dalam parti untuk undi Rais Yatim sebagai Speaker bagi pihak Bersatu.

“Jadi apa yang pihak Umno buat itu saya pun tidak ada komen panjang melainkan kita akan lawan secara demokratiklah dalam dewan,” katanya.