Skip to main
Logo Malaysiakini

Berguru dengan hudhud

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Al-Quran banyak menceritakan kisah nabi dan rasul bertujuan untuk dijadikan pengajaran kepada umat Islam sepanjang zaman.

Melalui teks firman Allah - dan kemudian dikupas Rasulullah SAW, diikuti para sahabat dan ulama terkemudian - para ilmuan Islam hari ini dapat menghayati persoalan tentang prinsip ketauhidan, kepelbagaian syariat atau tatacara hidup bermula era Adam sehingga Muhammad dan pertembungan di antara kesombongan dan keangkuhan.

Dengan panduan itu seseorang Muslim dapat menghadapi dan memahaminya dengan hati yang luhur serta kuat berpaut pada kekuasaan Allah.

Kisah-kisah dalam al-Quran serta sirah Nabi Muhammad bukanlah diwujudkan untuk diikuti satu persatu oleh umat Islam. Ia bukan untuk dijadikan pedua, malah tidak untuk dijadikan sandaran selepas seseorang melakukan kesilapan pada zaman ini.

Apabila kita meyakini ada hikmah besar yang muncul selepas kesilapan Adam AS melanggar perintah Allah, ia bukanlah sebab untuk menggalakkan perbuatan sebegitu walaupun hakikatnya itulah punca kewujudan manusia di muka bumi ini.

Apabila Nabi Musa AS melarikan diri daripada Firaun dan membelah laut untuk menyelamatkan kaumnya, jangan pula ditetapkan hukum agama bahawa kita mesti melarikan diri daripada pemerintah yang zalim dan berhijrah ke negeri lain.

Kisah dan sirah dalam al-Quran itu fungsinya untuk diteladani. Bukanlah ia - seperti kesilapan itu - dijadikan sebab untuk diikut. Bukan juga untuk dijadikan alasan bagi mempertahankan kesilapan yang dilakukan manusia hari ini.

Bukan itu objektif pengisahan yang banyak dinyatakan Allah dalam firman-firman-Nya.

Membaca beberapa kenyataan di media sosial yang mempertahankan Khairuddin Aman Razali dan menyamakan keingkaran itu dengan kisah burung hudhud, saya kagum bagaimana mereka bersungguh-sungguh untuk mempositifkan kesalahan besar seorang pemimpin terbabit.

Tidak sombong dengan kuasa

Mereka mengakui ia suatu kesalahan tapi pada masa sama masih mahu mengangkatnya sebagai satu kesalahan yang mulia dan wajar dipuji. Malah menteri terbabit dinobatkan sebagai hero.

Jika bukan ada kepincangan pada pemikiran, apa lagi yang wajar dikatakan apabila mereka semahunya menggunakan kisah dalam al-Quran untuk menghias cantik kegagalan pemimpin sendiri?

Nabi Sulaiman diajar Allah memahami dan bertutur bahasa manusia, jin dan binatang. Ia merupakan mukjizat yang menjadi antara petanda kemuliaan baginda sebagai rasul dan raja.

Baginda pernah ketawa mendengar perbualan antara ratu semut dan pengikutnya ketika haiwan itu menyelamatkan diri daripada kemungkinan dipijak. Lantas Sulaiman - yang sedar dikurniakan nikmat oleh Tuhannya - memohon Allah mengurniakan akan dia sifat syukur. Baginda tidak sombong dengan kuasa dan kekayaan.

Ketika Sulaiman mencari hudhud, ulama mengungkap bahawa tujuan baginda adalah untuk mendapatkan petunjuk kewujudan air di kawasan persinggahan mereka.

Hudhud ialah burung yang memiliki kemahiran mengesan air atau mata air, menurut Ibnu Kathir. Setiap individu dan binatang di bawah penguasaan Sulaiman sentiasa dipelihara sebaiknya oleh pemimpin besar mereka iaitulah baginda sendiri.

Walaupun seekor burung yang kecil, ketiadaannya akan diambil berat oleh Sulaiman. Kemahiran itu digunakan walaupun ia hanya seekor burung kecil.

Gambar hiasan

Sebagai seorang nabi dan raja sekali gus, perlukah baginda terlalu bergantung kepada hudhud? Ia adalah persoalan yang wajar membawa kita berfikir mengenai aspek komunikasi dua hala di antara pemimpin dan pengikut. Ada pengajaran besar di situ.

Apabila disahkan ketika itu berlaku ketiadaan hudhud, Sulaiman menyatakan penegasan - sebagai seorang pemimpin berintegriti dan amanah - bahawa tiada kemaafan jika kesalahan dilakukan, iaitu tidak hadir tanpa alasan wajar.

Hukuman yang bakal dikenakan ke atas burung tersebut adalah amat keras, iaitu sama ada dicabut bulunya kemudian dibiarkan di bawah panas matahari (seperti nukilan Ibnu Kathir) atau disembelih, bukan dipecat jawatannya sebagai pencari mata air.

Jika hudhud memang bersalah, apakah ia akan dihukum oleh Sulaiman? Kita bersetuju mengatakan ya, kerana tidak mungkin Sulaiman menyatakan sesuatu tetapi tidak melaksanakannya.

Bukan sepintas lalu

Namun hudhud selamat daripada hukuman berat itu. Hal itu kerana burung tersebut dapat memberikan alasan yang kukuh dan kemudian ia terbukti pula kebenarannya.

Ketika bersemuka dengan pemimpin agung bernama Sulaiman itu, hudhud memulakan penjelasan dengan metodologi khusus iaitu menarik pendengaran Sulaiman dengan menggunakan kalimah ‘ihatah’ yang bermaksud benar-benar mengetahui, meyakini dan telah disahkan berita yang akan diceritakannya.

Hudhud tambah lagi, berita yang ingin disampaikannya itu belum pernah diketahui oleh Sulaiman. Sudah tentu Sulaiman yang telah mempersoalkan ketiadan hudhud itu kembali reda dan bersedia mendengar.

Ketika membentangkan laporannya, hudhud menyampaikan kisah itu dengan pantas, ringkas tetapi sarat dengan maklumat penting yang diperlukan Sulaiman.

Burung itu tidak boleh mengambil masa yang panjang ketika bertemu pemimpin yang sibuk menjadi pemerintah.

Gambar hiasan

Di sini, pengamal media boleh mengesan beberapa inti pati penting yang dipratikkan oleh hudhud sebagai pelapor peristiwa. Amat bagus jika kisah yang diceritakan dalam surah an-Naml itu dihayati.

Dalam kejadian sebelumnya, hudhud terbang bersendirian dari Palestin menuju Jordan, kemudian merentas Semenanjung Arab sehingga ke Yaman. Di situlah ia bertemu istana besar milik Ratu Balqis.

Seekor burung yang memiliki kemahiran terbang laju dan bersendirian serta mampu menahan lapar dan dahaga dalam tempoh lama kemudian menemui perkhabaran atau penceritaan yang akan memberi manfaat besar kepada Sulaiman dan Islam.

Hudhud itu tidak menguruskan maklumat tersebut secara sambil lewa sebaliknya terus memberikan fokus kepada apa yang ditemuinya agar berita yang disampaikan kepada Sulaiman nanti betul, benar dan tepat.

Hudhud tidak sekadar melihat maklumat tersebut dengan sepintas lalu kemudian tergesa-gesa memaklumkannya kepada Sulaiman, sebaliknya ia mengambil masa mengumpul maklumat agar tepat dan meyakinkan.

Sekali lagi hudhud mengajar - itulah sifat orang saleh jika mahu menyampaikan khabar atau memuat naik status di media sosial. Fokus yang diberikan sang burung amat luar biasa sehingga ia mengetahui bahawa Balqis dan kaumnya menyembah matahari.

Rasuah dijenama jadi hadiah

Hari ini, berapa ramai pemimpin agama melakukan fitnah di media sosial? Mereka sepatutnya memimpin umat kepada ketakwaan, bukan ketawaan.

Alasan kukuh diberikan oleh hudhud. Justeru ia tidak dihukum oleh Sulaiman. Hudhud tidak bersalah. Hudhud tidak perlu dihukum. Sebaliknya Sulaiman menghantar burung itu sambil membawa surat untuk menyeru Balqis agar tidak meninggikan diri terhadap nabi pesuruh Allah, sebaliknya tunduk atau memeluk Islam.

Balqis - seperti diceritakan al-Quran - bertemu majlis syura. Mungkin ada dalam kalangan mereka itu menjadi ketua yang boleh disebut pengerusi majlis syura tetapi mungkin juga tiada.

Namun kesemuanya bertanggungjawab terus kepada si ratu.

Gambar hiasan

Balqis meminta pandangan mereka tentang surat yang dihantar Sulaiman. Mereka membalas dengan menyatakan kekuatan dan kemampuan kerajaan itu untuk berhadapan dengan nabi, namun menyerahkan keputusan muktamad kepada si ratu.

Akhirnya Balqis mengambil keputusan menghantar hadiah untuk meredakan ketegangan hubungan di antara dua kerajaan itu dan pada masa sama menolak pelawaan Sulaiman.

Hadiah tersebut sebenarnya merupakan rasuah tetapi dihias dengan terma positif, maka dilabel sebagai hadiah. Ulama menyatakan, Balqis ialah orang pertama yang menamakan rasuah sebagai hadiah.

Nampaknya amalan itu berkembang biak hingga ke hari ini.

Itu sebahagian daripada apa yang perlu kita tahu tentang hudhud. Ia tidak tamat begitu saja sebaliknya masih berbaki. Antaranya bagaimana Sulaiman merancang untuk melihat betis Balqis apabila jin - yang cemburu kepada kecantikan si ratu dan cuba menghalang perkahwinan mereka - memberikan khabar palsu kepada Sulaiman.

Jin menyampaikan berita palsu kononnya Balqis adalah daripada keturunan jin dan buktinya ada pada betis si ratu.

Gambar hiasan

Begitu juga kupasan-kupasan menarik para ulama tentang maksud di sebalik tempoh masa di antara bangunnya Sulaiman dari kerusi dan kerdipan kelopak mata yang ditawarkan dua rakyat baginda untuk membawa singgahsana Balqis ke hadapannya.

Sulaiman mahu menilai dua perkara pada Balqis: kebijakannya dan fakta benar tentang dirinya.

Menghayati kisah mulia dan penuh mukjizat tadi, memang tiada kesesuaiannya ia dijadikan dalil - atau dalih - mengenai keharusan melanggar undang-undang yang diiktiraf sebagai hukum takzir.

Tidak juga wujudnya dalil bagi memuliakan kesalahan orang kenamaan sehingga yang negatif cuba diberikan wajah positif. Gunakanlah akal fikiran dan kepetahan berhujah menggunakan mantik jika masih mahu terus menjadi banteng kepada menteri terbabit, tetapi jangan sekali-kali disalah guna kalam Allah.

Malah sikap menggunakan kisah al-Quran bagi kepentingan kumpulan sendiri dibimbangi termasuk dalam antara larangan agama yang besar di sisi Allah.

Bagaimana jika kumpulan lain menggunakan kisah yang sama ketika melanggar lampu isyarat atau tidak mematuhi arahan majikan? 

Atau bagaimana pula jika seorang ahli parlimen Perikatan Nasional tidak hadir ke parlimen ketika gabungan itu memerlukan undi, kemudian dia berhujah: 'Akulah hudhud 2020' dengan bangganya. Bolehkah? Halalkah?


OMAR MOHAMED ialah pembaca Malaysiakini dan penulis kecil tanpa buku yang gemar mengikuti perkembangan politik Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.