Skip to main
Logo Malaysiakini

'Gugurkan Khairuddin segera atau PM omong kosong'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin digesa menggugurkan Khairuddin Aman Razali sebagai menteri kabinet bagi mempertahankan prinsip tanggungjawab dan kebertanggungjawaban dalam pentadbirannya, kata peguam Haniff Khatri Abdullah.

Jika tidak, Haniff berkata kenyataan Muhyiddin bahawa tiada sesiapa terkecuali daripada undang-undang akan dilihat sebagai 'cakap tak serupa bikin semata-mata'.

Selain itu, katanya, Muhyiddin juga semalam bercakap mengenai tanggungjawab dan kebertanggungjawaban dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Justeru, apabila Khairuddin sendiri mengingkari undang-undang dan peraturan yang diwujudkan oleh kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Muhyiddin sendiri, secara khususnya keperluan kuarantin kendiri yang mulai berkuatkuasa pada 10 Jun2020, maka wajib dan wajar untuk Muhyiddin menggugurkan Khairuddin daripada jemaah menteri tanpa syarat dan dengan serta -merta.

“Jika tidak, Muhyiddin sebagai perdana menteri akan memberi isyarat buruk kepada rakyat bahawa, walaupun Muhyiddin mengatakan tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang, tetapi ia cuma sekadar omong-omong kosong dan cakap tak serupa bikin sahaja,” tegas Haniff dalam satu kenyataan.

Khairuddin yang merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi didapati gagal melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari selepas pulang dari Turki.

Anggota Parlimen Kuala Nerus itu tiba di negara ini pada 7 Julai dan hadir di Dewan Rakyat kurang seminggu kemudian. 

Khairuddin kemudian mengakui kesalahan tersebut dan menawarkan gajinya sebagai menteri selama empat bulan untuk disumbangkan kepada tabung Covid-19. Dia juga dikompaun maksimum RM1,000. 

Meskipun membuat permohonan maaf, Khairuddin mengetepikan gesaan sesetengah pihak agar dia meletakkan jawatan.

Katanya dia tidak melakukan sebarang kesilapan, sebaliknya hanya khilaf dalam isu prosedur operasi standard (SOP).

Pada 31 Ogos, mursyidul am PAS Hashim Jasin mengibaratkan Khairuddin seperti burung hudhud dalam kisah Nabi Sulaiman yang menurutnya wajar diangkat sebagai hero.

Semalam pula, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata tindakan tegas untuk memecat hanya akan diambil sekiranya ahli parti berbuat maksiat yang bercanggah dengan Islam dan moral.