Tinjauan: Majoriti puas hati dengan k'jaan tapi angka makin menurun
Satu tinjauan yang dijalankan baru-baru ini mendapati majoriti responden iaitu sebanyak 51 peratus percaya bahawa negara ini berada pada landasan yang betul.
Bagaimanapun berdasarkan tinjauan bebas yang dijalankan Merdeka Center, angka itu menurun berbanding 58 peratus pada bulan Mei lalu.
Responden Melayu yang percaya bahawa negara ini menuju ke arah yang betul menurun daripada 82 peratus pada Mei kepada 72 peratus pada Ogos.
"Mood orang ramai tetap baik tetapi terdapat sedikit penurunan di kalangan responden Melayu, mungkin disebabkan oleh masalah ekonomi yang muncul dalam tempoh selepas PKP serta beberapa kebimbangan mengenai politik," kata Merdeka Center.
Daripada jumlah ini, satu perempat mengaitkan sentimen berkenaan dengan "kerajaan yang baik" sementara yang satu perlima lagi berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan.
Sebilangan besar responden (93 peratus) setuju dengan usaha kerajaan menangani wabak Covid-19 sementara 61 peratus berpuas hati dengan pengurusan ekonomi.
Bagaimanapun hanya 41 peratus berpuas hati dengan usaha kerajaan mencipta peluang pekerjaan, sementara hanya 38 peratus berpuas hati dengan usaha memerangi rasuah.
Ketidakstabilan politik
Sebanyak 34 peratus responden percaya negara ini berada di landasan yang salah, iaitu meningkat daripada 30 peratus berbanding bulan Mei.
"Hampir satu pertiga (31 peratus) kecewa kerana ketidakstabilan politik yang dirasakan, dan 17 peratus mengeluh mengenai masalah ekonomi seperti pengangguran dan iklim perniagaan yang buruk," kata Merdeka Center.
Secara keseluruhan, 58 peratus responden berpuas hati dengan prestasi kerajaan persekutuan.
Responden yang berbangsa Melayu, berpendapatan rendah atau bekerja dalam perkhidmatan awam atau GLC lebih berpuas hati dengan prestasi kerajaan persekutuan.
Tinjauan yang dilakukan antara 15 Julai dan 10 Ogos itu melibatkan 3,415 responden yang dipilih melalui persampelan rawak di seluruh negara yang mencerminkan sentimen pengundi di negara ini.
Merdeka Center melakukan tinjauan persepsi pengundi setiap bulan, tetapi hanya mengumumkannya secara berkala dan yang terakhir pada 26 Julai 2019.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai