Guan Eng dakwa SPRM bohong mengenai larangan masuk ke Sabah
Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berbohong apabila menafikan usaha menyekatnya memasuki Sabah pada malam Selasa lalu.
"SPRM telah berbohong kerana menafikan bahawa mereka telah cuba menyekat saya memasuki Sabah dan juga menceroboh hak Sabah dengan melanggar kuasa Imigresen ketua menteri Sabah.
"Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal telah mengesahkan secara peribadi kepada saya sebuah laporan berita yang mengatakan bahawa saya pada mulanya disekat memasuki Sabah kerana saya berada dalam senarai pemantauan SPRM.
"Ini membuktikan bahawa ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berbohong apabila dia menafikan bahawa SPRM telah menyekat saya memasuki Sabah," kata Lim, yang juga anggota parlimen Bagan, dalam satu kenyataan hari ini.
Malaysiakini telah menghubungi Azam untuk mendapatkan meklum balas mengenai perkara itu.
Lim berkata dia tiba di Kota Kinabalu dan melepasi pihak imigresen di lapangan terbang berkenaan dengan menggunakan pas lawatan sosial pada jam 11:54 malam.
Bagaimanapun ketika mahu memasuki ke keretanya, dia diminta masuk semula ke lapangan terbang oleh seorang pegawai kanan imigresen.
Setiausaha Agung DAP itu berkata dia diberitahu pada masa itu bahawa SPRM telah 'meletakkan halangan' untuknya memasuki Sabah.
"Setelah beberapa ketika saya mengatakan kepada mereka bahawa hanya Ketua Menteri Sabah dan bukan SPRM yang boleh menyekat saya memasuki Sabah, pegawai Imigresen berkenaan membenarkan saya pergi selepas 40 minit," tambahnya.
"Sekarang Shafie mengesahkan bahawa dia tidak melarang saya memasuki Sabah, tetapi diberitahu oleh pengarah Jabatan Imigresen Sabah bahawa perintah" sekatan" telah diberikan oleh SPRM, Azam Baki harus tampil secara telus dengan mengatakan perkara yang sebenarnya.
"Sekiranya SPRM boleh membohongi perkara yang begitu mudah, ada kebimbangan yang jelas bahawa SPRM sengaja menyasarkan saya semata-mata kerana alasan politik," kata Lim.
Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengatakan bahawa tidak ada sekatan dikenakan terhadap Lim.
"Tak betul. Mahkamah hanya impounded (menyekat) pasport dia ke luar negara sahaja.
"Dia boleh memasuki Sabah menggunakan kad pengenalan," katanya kepada Malaysiakini melalui kiriman teks.
Lim berkata, keadaan itu menimbulkan keraguan serius mengenai sikap tidak berpihak, kebebasan, integriti dan profesionalisme SPRM.
"Melainkan Azam Baki dengan berani mengatakan bahawa dia tidak mengatakan perkara yang sebenarnya, slogan SPRM" adil, tegas, amanah hanyalah omong-omong kosong dan tidak bermakna, "katanya.
Bulan lalu Lim mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas tuduhan meminta rasuah berkaitan projek terowong bawah laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
Menyifatkannya sebagai amalan pilih kasih, Lim merujuk kes melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak, yang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, manakala Presiden Umno, Zahid Hamidi turut dibicarakan atas tuduhan rasuah. Kedua-duanya, kata Lim boleh memasuki Sabah tanpa masalah.
"Sasaran terpilih dilakukan oleh SPRM adalah salah guna kuasa untuk "membuli dan mengaibkan" saya," katanya.
Lim berkata kuasa untuk menghalang seseorang memasuki Sabah hanya terletak pada ketua menteri Sabah dan bukan kerajaan pusat.
"Menceroboh kuasa ketua menteri Sabah adalah pelanggaran yang jelas terhadap janji-janji yang dibuat kepada Sabah, seperti yang diberikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan, dan tidak menghormati hak-hak Sabah dan rakyat Sabah.
"Shafie sememangnya kesal kerana kuasanya dalam isu imigresen yang begitu penting telah dilanggar. Rakyat Sabah tidak boleh membiarkan agensi kerajaan persekutuan mengambil alih kuasa dan hak Sabah," tambah Lim.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai