Skip to main
Logo Malaysiakini

Menghendap, sebar video peribadi juga termasuk gangguan seksual

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual akan mengambil kira kelompangan dalam sistem perundangan atau peraturan sedia ada seperti menggariskan definisi gangguan seksual yang lebih menyeluruh, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.

Katanya, definisi gangguan seksual di bawah RUU itu turut mengambil kira bahawa gangguan seksual boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan medium, maka perbuatan penghendapan dan penyebaran butiran, gambar atau video peribadi secara dalam talian tanpa kebenaran juga menjadi suatu kesalahan.

“Namun begitu, satu peruntukan khusus berkenaan penghendapan dicadangkan untuk ditangani melalui pindaan Kanun Keseksaan,” katanya.

Rina menjawab soalan oleh Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar pada 26 Ogos yang bertanyakan sama ada RUU itu akan mengambil kira kelompongan dalam akta sedia ada atau tidak.

Antara lompong yang dimaksudkan Izzah ialah perincian jenayah mengambil gambar tanpa keizinan, surat ugutan yang mengandungi gambar atau video peribadi, penghendapan dan penyebaran butiran peribadi tanpa kebenaran.

“Perkara utama yang diberi perhatian bagi memastikan draf yang digubal adalah komprehensif ialah dengan memastikan ia berupaya menangani kelompangan dalam sistem perundangan atau peraturan sedia ada seperti dalam Kanun Keseksaan [Akta 574], kod amalan, pekeliling dan garis panduan yang hanya terpakai kepada sama ada sektor awam atau sektor swasta sahaja.

“Selain itu, draf RUU Gangguan Seksual turut menggariskan definisi gangguan seksual yang lebih menyeluruh dan pemakaiannya tidak hanya terhad kepada sektor pekerjaan tetapi merangkumi tempat-tempat awam,” jelas Rina lagi dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Katanya, secara keseluruhan, RUU itu dapat memberikan kesedaran dan pendedahan kepada umum mengenai kesalahan gangguan seksual supaya dapat mencegah gangguan seksual daripada berlaku, di samping memberikan perlindungan kepada mangsa melalui langkah pemulihan yang sewajarnya.

RUU itu turut meletakkan tanggungjawab untuk melapor serta menyiasat laporan kepada majikan yang menerima aduan bagi kes gangguan seksual.

Sebelum itu, Rina berkata RUU itu dijangka akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada hujung tahun ini.

RUU itu sepatutnya dibentangkan kali pertama pada Mac tahun ini, tetapi ekoran kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan sebelum itu, RUU itu perlu dibentangkan sekali lagi untuk pertimbangan dan kelulusan kabinet baru Perikatan Nasional.

“Draf RUU Gangguan Seksual ini telah digubal melalui penubuhan satu pasukan projek khas yang terdiri daripada pihak berkepentingan merangkumi pelbagai kementerian dan agensi, ahli akademik, NGO dan individu-individu yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan berkenaan isu gangguan seksual dan perundangan,” kata Rina lagi.